Membawang Hari Ini

Farah kembali lebih yakin

Bermula dengan watak kecil ketika mula bertapak pada 2011, kini Farah Nabila, 24, memegang watak utama dalam siri Inikah Cinta berganding dengan Niezam Zaidi.

Itu juga kali pertama Farah menjadi teraju dan reaksi penonton terhadap lakonannya dalam drama bersiri itu mendapat perhatian.

Bagaimanapun, Farah pernah membuat keputusan mengejutkan apabila tidak menerima sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap pe­ngajiannya.

Pelajar jurusan Psikologi di sebuah pusat pengajian tinggi swasta ini mengakui lima tahun senyap daripada industri kerana ingin memberikan tumpuan kepada pelajaran.

“Saya dijangka menamatkan kuliah pada Mei ini dan hanya akan aktif selepas bergelar graduan. Saya lebih rela meninggalkan pentas lakonan buat sementara waktu berbanding menangguhkan pengajiannya.

“Memanglah pada awal kemunculan umum mula mengenali saya tetapi saya rasa lebih rugi kalau tidak menamatkan pengajian dalam masa ditetapkan. Lebih baik saya habiskan kuliah terlebih dahulu, barulah aktif semula.

“Tambah pula sekarang saya berada pada semester akhir. Tidak perlu terburu-buru untuk kembali ke dunia lakonan. Saya pasti apabila tiba masanya, kerjaya itu akan berjalan lancar,” katanya.

Walaupun sudah lama tidak beraksi di depan kamera, dia gembira kerana lakonannya dalam Inikah Cinta mendapat maklum balas memberangsangkan.

Kata Farah, sepupunya menjadi pengkritik tetap lakonannya. Dahulu mereka mengatakan lakonannya kaku tetapi kali ini lebih bersahaja.

“Ada hikmah sebenarnya apabila mengambil jurusan Psikologi dan memperlahankan kerjaya seni. Apabila berlakon semula, saya lebih yakin dan lakonan juga mengalami perubahan yang sangat besar.

“Dulu sepupu selalu cakap lakonan saya ‘kayu’ tetapi kali ini mereka puji lakonan saya sudah okey dan kelihatan bersahaja. Itu adalah maklum balas yang baik dan saya gembira. Walaupun lama tidak berlakon, lakonan saya ada perubahan.

“Jurusan yang saya ambil itu juga sebenarnya banyak membantu. Mungkin kelihatan seperti tidak nampak kaitan tetapi hakikatnya banyak membantu saya merealisasikan watak Rose Adeline.

“Dengan psikologi saya dapat menyelami karakter itu. De­ngan pemahaman itulah ia dapat membina gerak dan bahasa tubuh serta pandangan mata. Semua itu saya belajar daripada kuliah,” katanya.

Selain itu, kata Farah, dia juga mengamalkan menonton sekurang-kurangnya satu filem pada satu malam. Tidak kira genre apa, ia dijadikan rutin bagi mempelajari teknik daripada pelakon yang membintangi filem yang ditonton.

Farah juga tidak risau bermula dari bawah dan terpaksa mendaki lagi untuk menuju ke puncak.

Katanya, dia percaya kepada rezeki. Walaupun dia berlakon dengan baik, andai bukan rezeki ia tidak akan menjadi miliknya.

“Saya percaya semuanya atas rezeki. Ada perkara yang kita tidak sangka tiba-tiba datang kepada kita. Itulah rezeki kita. Tetapi kalau sudah ditetapkan sesuatu itu bukan rezeki kita, apa pun yang kita lakukan ia tidak akan menjadi milik kita.

“Popular atau tidak semuanya bergantung pada rezeki juga. Tidak perlu terkejar-kejar. Semua perkara ada waktunya, yang membezakan cuma masa sama ada lambat mahupun cepat.

“Walaupun industri ramai muka baru, masing-masing ada rezeki­nya,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi Pucuk Muda Kerabu Taugeh itu akui terperanjat apabila mula menjadi perhatian. Dia tidak menyangka lakonannya dalam Inikah Cinta mendapat perhatian penonton.

Malah apabila me­ngunjungi tempat umum pasti ada yang mengajaknya merakam gambar bersama. Farah mengandaikan itu adalah permulaan yang baik sebelum sepenuhnya aktif dalam lakonan.

“Saya menerima tawaran ini, TV3 yang yang menghubungi saya dan meminta untuk hadir uji bakat. Saya pun pergi dan tidak sangka dapat watak itu. Saya perlu berterima kasih kepada mereka kerana memberikan peluang.

“Saya masuk industri bermula sebagai model iklan walaupun niat asal mahu menjadi hos. Ternyata rezeki saya dalam lakonan. Saya pun tidak tahu sama ada masih boleh mencapai impian itu ataupun tidak kerana saya gugup apabila bercakap depan kamera,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");