Panasnya Hari Ini

Gabenor BNM Baharu Mesti Bebas Dari Politik

KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa mereka yang terlibat dengan politik dan pernah berkhidmat dengan kabinet di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dilantik menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan integriti serta nama baik bank pusat itu terjejas.

Berikutan itu, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man , kerajaan diingatkan agar melantik pengganti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara pada April mengikut apa yang disarankan oleh BNM.

Beliau berkata, ini kerana, pencapaian BNM yang diperolehi oleh Zeti dengan pengiktirafan pelbagai pihak perlu dikekalkan, apa lagi dalam suasana negara berhadapan dengan pelbagai kemelut ekonomi serantau.

“Semestinya BNM dan Zeti tahu siapa yang lebih layak menggantikannya dari segi kelayakan, kepintaran, kebolehan dan terutamanya mereka yang bebas politik dan berani menentang gangguan politik ke atas BNM.

“Kepakaran dalam menerajui kegawatan ekonomi semasa dan masa depan negara khasnya memerlukan kepakaran mengatasi tuntutan politik,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Tuan Ibrahim lagi, bagi memastikan kerajaan tidak melibatkan politik di dalam hal pelantikan Gabenor Bank Negara yang baharu, PAS memohon agar kerajaan mendedahkan kepada umum nama calon yang telah dikemukakan.

Ini kerana, kata beliau, PAS tidak mahu insiden berulang di mana Peguam Negara mengumumkan tiada pendakwaan terhadap Perdana Menteri, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membayangkan adanya cukup bukti.

“Jika ini berlaku, ia bermaksud urusan BNM telah dicampuri politik dalam pelantikan gabenor yang baru, dan ini bakal menjejaskan lagi keyakinan rakyat dan negara luar terhadap Malaysia.

“Jaminan Perdana Menteri bahawa BNM akan bebas dari campurtangan ahli politik masih dinanti-nantikan oleh rakyat.

“Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");