Panasnya Hari Ini

Gadai Prinsip Perjuangan Tuduhan Tidak Berasas-Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas tindakan segelintir pihak yang menyifatkan penglibatannya di dalam deklarasi rakyat Jumaat lalu sebagai menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Tegasnya, terdapat pihak yang sengaja menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menutup kelemahan mereka.

Tambahnya lagi, tanggapan itu adalah satu tuduhan yang amat tidak berasas.

“Mereka nampaknya tidak senang dengan kejayaan Tun Dr Mahathir Mohamad menghimpunkan tokoh-tokoh Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan, PAS dan masyarakat sivil untuk duduk bersama mendesak Datuk Seri Najib supaya berundur.

“Agak malang apabila mereka menggunakan kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam upacara tersebut untuk menggambarkan seolah-olah Deklarasi Rakyat adalah agenda DAP untuk menghancurkan UMNO dan seterusnya menyifatkan Tun Mahathir sebagai pengkhianat perjuangan UMNO.

“Tuduhan ini sama sekali tidak benar,” katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman facebook miliknya hari ini.

Tambahnya lagi, Deklarasi Rakyat bukannya agenda mana-mana parti politik dan ia terbit daripada kesedaran individu daripada pelbagai latar belakang sosial dan politik yang sedar bahawa kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri sudah tidak wajar lagi.

“Hakikatnya, Deklarasi Rakyat adalah perjuangan rakyat yang merentasi ideologi politik, kaum dan agama untuk menentang kemungkaran, menyelamatkan Malaysia dan menebus kembali maruah negara.

“Jika Najib boleh duduk sepentas dengan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang atas nama kerjasama politik, mengapa pula Tun Mahathir, saya dan Mukhriz tidak boleh duduk semeja dengan tokoh-tokoh di atas untuk menyelamatkan Malaysia?

“Mengapa perlu digunakan tahap yang berbeza untuk kami berbanding Najib?,” soalnya.

Beliau turut menyifatkan bahawa orang-orang di sekeliling Najib sebenarnya bimbang akan kesan inisiatif Tun Dr Mahathir terhadap kedudukan ketua mereka sebagai Perdana Menteri.

“Saya percaya lebih ramai rakyat akan tampil menyatakan sokongan mereka terhadap Deklarasi Rakyat dalam masa terdekat. Sudah pasti perkembangan ini amat membimbangkan Najib dan orang-orang sekelilingnya.

“Sebaliknya, yang tidak demokratik adalah mereka.

“Mereka juga berkata seorang Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan kecuali menerusi pilihanraya. Di sinilah letaknya kesilapan besar mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, jika sebahagian besar rakyat menolak kepimpinan Najib, maka sewajarnyalah Najib berundur sekarang dan tidak menunggu sehingga pilihanraya.

Sebaliknya, ia akan memberi laluan kepada proses tindakan undang-undang diambil terhadapnya dan beliau diadili dengan seadilnya di mahkamah.

Tegasnya lagi reformasi institusi secara keseluruhan perlu dilaksanakan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan amanah.

Jelasnya, wujud pihak yang menggunakan pelbagai alasan yang pelik untuk mencemuh deklarasi tersebut dan mengatakan kononnya ia tidak demokratik.

“Meminta seorang Perdana Menteri berundur oleh kerana pembabitannya dalam skandal kewangan adalah sebahagian daripada hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

“Jika pemimpin UMNO dan BN masih terperangkap dalam sindrom penafian dan terus menerus mempertahankan seorang individu yang tidak dapat dipertahankan dari segi neraca undang-undang, moral dan agama, maka rakyat akan menolak UMNO dan BN secara keseluruhan.

Ujarnya lagi, penolakan rakyat bukanlah disebabkan oleh Deklarasi Rakyat, tetapi kerana kegagalan pemimpin UMNO untuk mengemudi bahtera UMNO sehaluan dengan nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat, iaitu kejujuran, kebertanggungjawaban, ketelusan dan keadilan dalam memikul amanah kepimpinan.

“Selama 40 tahun saya di dalam politik, tidak pernah sedetik saya bertindak menggadai prinsip perjuangan saya.

“Tidak masuk akal tindakan saya menggesa Najib meletakkan jawatan kerana kemungkaran yang terpalit kepadanya, maka saya dikatakan menggadai perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya tidak mahu disoal diakhirat kelak apa yang saya buat untuk menentang kemungkaran ketika saya masih berupaya untuk melakukannya,” ulasnya lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");