Isu Panas

GKCM wujud bagi perbetulkan perjalanan Umno

SHAH ALAM – Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) wujud bukan sekadar bagi memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya, tetapi bertujuan untuk membetulkan perjalanan Umno.

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, GKCM akan terus bertindak sebagai pendesak kepada kepimpinan Umno, dan memastikan perjuangan Umno sentiasa berada pada landasan asalnya.

“Kecintaan terhadap Umno semakin terhakis. Apa yang kami lakukan adalah demi memperjuangkan parti agar ia terus relevan dan diterima rakyat serta tidak menyimpang daripada landasannya.

“Kami melihat, amanah yang diberikan kepada pemimpin untuk mengemudi Umno tidak dilaksanakan sebaiknya. Kerana itu kami akan terus beri tekanan supaya mereka tidak terlalu selesa dengan kedudukan yang ada sehingga boleh melakukan apa sahaja yang disukai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, GKCM akan memainkan peranan terutama di barisan hadapan dalam menegakkan kebenaran termasuk sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka meminta Muhyiddin menyatakan kebenaran, tetapi apabila perkara itu dilakukan, tiada siapa mahu menyokongnya malah tiada yang berani tampil ke hadapan.

“Kerana itu kami mengambil peranan tersebut. Kita tidak boleh biarkan, bila ada pemimpin yang bersuara tentang kebenaran, kemudian ditinggalkan, atas dasar itu GKCM menghulurkan tangan sebagai tanda sokongan (kepada Muhyiddin),” katanya.

Beliau turut menafikan GKCM lahir dan mendapat tajaan daripada Muhyiddin.

“Anggapan bahawa Muhyiddin merupakan individu yang memulakan GKCM ini adalah tidak benar. Tetapi apabila kami melihat rentetan dikenakan terhadap Muhyiddin, kami merasakan perlunya sokongan diberi kepada beliau,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi meraih semula sokongan dan kepercayaan rakyat, Umno harus membuktikan bahawa mereka adalah parti yang menjunjung nilai-nilai positif, yang amanah, jujur serta, berwawasan.

“Ahli Umno tidak boleh selesa dengan beranggapan mereka mempunyai deposit yang selamat dalam kalangan pengundi Melayu.

“Mereka harus menunjukkan bahawa pemimpin Umno adalah pemimpin yang amanah dan boleh mengemudi masyarakat berbilang kaum,” katanya

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");