Membawang Hari Ini

Impian ibu bakar semangat

Walaupun namanya belum cukup dikenali, pelakon Nafiez Zaidi yakin langkahnya dalam bidang lakonan tanah air tidak akan terhenti.

Pelakon berusia 24 tahun ini kerap mengisi drama tempatan sebagai watak tambahan, namun ada beberapa sebab utama yang menyuntik semangat buatnya untuk terus berjuang dan antaranya ialah impian ibunya.

“Ibu juga mempunyai minat mendalam dalam lakonan. Pada usia mudanya, dia pernah mencuba nasib untuk uji bakat drama bersiri Opah dan dia berjaya.

“Namun, disebabkan mendapat tentangan daripada nenek, ibu terpaksa melupakan niatnya untuk bergelar pelakon. Kini, saya meneruskan impian ibu dan alhamdulillah, kedua-dua ibu bapa saya memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Bercerita mengenai latar belakangnya, jejaka kelahiran Perlis ini bersyukur walaupun bergelar pelakon tambahan dia berpeluang berlakon bersama beberapa nama besar dalam bidang lakonan antaranya Datuk Rahim Razali dan Liza Abdullah.

“Saya baru tiga tahun dalam bidang lakonan. Namun, sebagai pelakon tambahan saya kini sudah berlakon 10 drama,” katanya.

Antara drama lakonannya ialah Memori Cinta Suraya, Besan Tiga Segi dan Hello Mr Perfect.

Ditanya mengenai usahanya untuk mendapat tempat sebagai pelakon, Nafiez mempunyai beberapa cara.

“Paling penting ialah rajin. Untuk saya, kalau ada apa-apa sesi uji bakat dan sebagainya, saya akan terus ke situ untuk mencuba nasib serta mencari peluang.

“Selain itu, saya sendiri akan ke syarikat produksi untuk menghantar profil. Untuk mendapat tempat dan dilihat sebagai pelakon, saya kena tonjolkan diri.

Bagaimanapun, semua itu bergantung juga kepada rezeki. Kalau ada, adalah rezekinya,” katanya.

Meletakkan Bront Palarae dan Johnny Depp sebagai idola, Nafiez mengimpikan untuk memegang watak jahat.

“Itu antara impian saya. Namun, buat masa ini saya hanya menerima watak baik kerana penerbit dan pengarah memaklumkan wajah saya sesuai untuk watak baik,” katanya tersenyum.

Terbaru, Nafiez kini membintangi drama bersiri Bodyguard yang ditayangkan di slot Aksi di TV3.

“Untuk drama ini, ada beberapa babak yang memerlukan saya melakukan aksi pergaduhan. Memang itu satu lagi pengalaman yang saya timba kerana untuk melakonkan aksi sebegitu, saya perlu faham helah kamera dan sebagainya.

“Sebelum ini, saya ada belajar asas seni silat dan sedikit sebanyak dapat dipraktikkan dalam lakonan,” katanya.

Drama bersiri Bodyguard turut menampilkan pelakon seperti Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");