SELEPAS yakin dua atlet, Mohd Shahmil Md Saad dan Jong Yee Khie dapat menempah tiket ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro secara merit, skuad powerlifting negara percaya dua peserta lain juga bakal mengiringi mereka.
Tanpa mahu menamakan dua atlet lain itu, Ketua Jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam berkata, beliau sudah mengemukakan nama-nama mereka kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sebaik Piala Dunia Powerlifting yang diadakan di sini berakhir 27 Februari lalu.
“Saya yakin dengan prestasi atlet semasa Piala Dunia Powerlifting di sini baru-baru ini dan ia juga berdasarkan ranking untuk melayakkan diri ke Rio.
“Memang saya sasarkan untuk mereka melayakkan diri ke Sukan Paralimpik September nanti. Saya tidak mahu memperkatakan mengenai pingat kerana ia adalah temasya yang besar dan tentunya saingannya juga lebih mencabar,” katanya semalam.
Begitupun, Jamil mengakui harapan besar tentunya diletakkan ke bahu Mohd Shamil dan Yee Khie untuk membawa pulang pingat daripada temasya itu.
Menurutnya, berdasarkan kepada ranking semasa powerlifting IPC, Mohd Shamil dan Yee Khie masing-masing berada dalam kedudukan ke-11 kategori 107 kilogram (kg) dan sembilan dalam kategori 97kg.
Dalam perkembangan sama, Jamil berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jurulatih dari United Kingdom untuk mengadakan program latihan bersama sebagai persiapan atlet menjelang Sukan Paralimpik.
“Saya akan mengadakan program jangka panjang buat mereka untuk mendapat sesi latihan yang intensif dan mencukupi agar mampu memberi persembahan yang mantap.
“Latihan yang bakal diadakan pada Jun ini di United Kingdom diikuti di Sao Paulo, Brazil pada Ogos, adalah bagi mereka menyesuaikan diri dengan cuaca di sana nanti,” katanya. – Bernama