Berita Hari Ini

Jangka harga tanah melambung

GUA MUSANG – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan harga tanah di sekitar bandar ini akan melambung tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi sehingga tidak mampu lagi diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, perkara berkenaan adalah berikutan tanah di kawasan Dun Galas tidak mempunyai sekatan rizab Melayu dan boleh dimiliki sesiapa sahaja termasuk rakyat dari negeri lain.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan tanah di Dun tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan beliau mengingatkan penduduk yang memiliki tanah agar tidak cepat menjualnya.

“Mengikut ramalan, tanah di sini akan jadi lebih mahal daripada tanah di bandar lain di Kelantan dan sekarang ini sudah ramai penduduk negeri lain termasuk datang membelinya.

“Penduduk yang menjual tanah mereka dengan terlalu cepat mungkin tak akan dapat membelinya kembali,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Galas, Ab Aziz Yusof, Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Bendahari Pemuda Umno bahagian, Mohd Azmawi Fikri Ab Ghani.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, harga tanah di kawasan bandar ini naik lebih 30 peratus dan terdapat penduduk terpaksa menjual tanah mereka kerana terdesak dan memerlukan wang.

Tambahnya, penduduk perlu mengawal perasaan dan jangan terlalu cepat menjual tanah yang dimiliki sekian lama walaupun berdepan kos sara hidup tinggi kerana ia boleh merugikan masa depan mereka sendiri.

“Kita harus buat perkiraan zaman dahulu dan sekarang yang mana bandar Gua Musang sudah jauh berubah dan banyak pembangunan telah dibawa oleh kerajaan ke sini.

“Apa salahnya kita simpan tanah yang dimiliki kerana orang dari negeri lain sentiasa mengintai peluang untuk membelinya sebelum harganya melambung tinggi,” katanya.

Katanya, penduduk yang merupakan pemilik tanah perlu ingat, apabila tanah dijual dengan alasan desakan hidup berikutan kos sara hidup tinggi, ia tidak akan mampu dibeli kembali selepas ekonomi bertambah baik.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");