Berita Hari Ini

JPAM mahu capai sasaran dua juta anggota

SIBU – Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) akan berusaha meningkatkan keanggotaannya kepada dua juta orang menjelang 2018 dengan pengambilan anggota sukarela khasnya dalam kalangan golongan muda di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Pesuruhjaya (Pertahanan Awam) Datuk Selamat Dahalan berkata, ini bagi memastikan negara sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menangani krisis, kecemasan dan bencana semulajadi ataupun bencana akibat perbuatan manusia.

Jabatan itu kini mempunyai 850,000 anggota di 144 daerah seluruh negara, dengan 300,000 daripadanya bersedia melaksanakan tugas kecemasan.

“Daripada jumlah itu, 66,000 pelatih dan 190,000 orang awam telah didedahkan dengan ilmu pertahanan awam,” katanya semasa majlis Pentauliahan Pasukan Institusi Pertahanan Awam Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (PISPA ILKKM) Bagi Zon Sarawak di Kolej Kejururawatan Sibu di sini hari ini.

Mengenai PISPA Selamat berkata, ia merupakan kerjasama strategik di antara JPAM dan Kementerian Kesihatan untuk melatih ilmu Pertahanan Awam dalam kalangan pelatih Institusi Latihan Kementerian Kesihatan.

Katanya, mereka yang menamatkan keseluruhan silibus kursus dan latihan PISPA ditauliahkan sebagai Pegawai Staf Muda (Pertahanan Awam) Gred 13 dan boleh membantu JPAM dalam merancang dan melaksanakan aktiviti kesiapsiagaan awam apabila melangkah ke alam pekerjaan masing-masing kelak.

Daripada 33 Institusi Latihan Kementerian Kesihatan, 26 daripadanya telah melaksanakan modul PISPA dan seramai 2,969 pelatih di institusi itu menjalani latihan PISPA dengan 582 orang adalah dari Zon Sarawak.

Pada majlis itu, Selamat menyempurnakan pemakaian pangkat dan menyampaikan watikah pegawai bersekutu kepada lapan pegawai dari Kolej Kejururawatan Sibu, Kolej Kesihatan Awam Kuching dan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching.

Beliau juga mentauliahkan pangkat dan menyampaikan sijil kepada Pegawai Sukarelawan PISPA ILKKM kepada 108 jururawat pelatih dari Kolej Kejururawatan Sibu dan 41 pelatih Inspektor Kesihatan dari Kolej Kesihatan Awam Kuching.

Majlis itu juga menyaksikan pentauliahan pingat dan pemakaian pangkat 45 pegawai tidak bertauliah dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam Sibu, Matu, Daro dan Mukah.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");