Sukan Hari Ini

JUFA pilih Johor Bahru

Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Universiti Jepun (JUFA) memilih Johor Bahru sebagai lokasi Kem Latihan Padang dan perlawanan sekali gus menyaksikan dua aksi persahabatan dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan JDT II diadakan hari ini dan 16 Mac nanti.

Ketua jurulatihnya Junichi Miyazaki berkata, seramai 32 delegasi membabitkan pegawai dan pemain termasuk skuad kebangsaan Jepun bawah 19 tahun terbabit dalam kem itu yang diadakan setiap dua tahun sekali dengan pasukan tuan rumah mana-mana negara di Asia Tenggara.

Katanya, pemilihan negeri ini berikutan Jepun dan Johor Bahru mempunyai hubungan istimewa apabila Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos Larkin menjadi lokasi keramat Negara Matahari Terbit itu layak kali pertama ke Piala Dunia FIFA.

“Berikutan kemajuan pembangunan dicapai dan persekitaran yang baik menyebabkan ramai warga Jepun tinggal dan bekerja di Johor Bahru. Pada masa sama kemajuan sukan bola sepak termasuk kemudahannya menyebabkan Johor DT memenangi Liga Malaysia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Kapten Fahmy Yahya, Pengarah Sukan Johor DT Alistair Edwards dan ketua pasukan JUFA Yoshiaki Iida.

Edwards berkata, pihaknya berbesar hati menerima kunjungan delegasi berkenaan dan mengambil peluang yang ada untuk bersama-sama bertukar kemahiran serta pengalaman apatah lagi Jepun diiktiraf sebagai kuasa bola sepak Asia.

Katanya, dengan kerja keras Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyaksikan pasukan Harimau Selatan kini mendapat perhatian pihak luar selain inisiatif baginda dalam pembangunan sukan bola sepak termasuk kerjasama dengan kelab utama Eropah diyakini dapat menghasilkan kejayaan lebih bermakna.

“Jepun diiktiraf sebagai kuasa bola sepak di Asia dan banyak pertemuan dan perbincangan dilakukan termasuk harapan kita dapat mempelajari serta bertukar pendapat untuk memperkuatkan pasukan.

“Kita berharap dengan usaha ini nama Malaysia menerusi Johor DT dapat meningkat sama seperti Jepun di peringkat Asia. Seperti juga kerjasama dengan Borrusia Dortmund dan Valencia CF,” katanya.

Katanya, perlawanan persahabatan JUFA-Johor DT itu digunakan sebagai aksi pemanas badan bagi pemain simpanan Johor DT dan JDT II untuk melatih kemahiran dan mengekalkan kecergasan masing-masing.

Perlawanan persahabatan itu akan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang jam 8 malam ini dan 16 Mac 5 petang.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");