Sukan Hari Ini

Keazaman Chong Wei

WALAUPUN menjuarai Seluruh England tiga kali, namun jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak pernah ‘puas’ untuk mendakap trofi kejohanan tertua dalam badminton dunia itu.

Menurut Chong Wei, beliau tetap dahagakan kejuaraan itu berjanji untuk memberi persembahan terbaik bagi memenuhi impiannya.

“Seluruh England kejohanan kegemaran saya selepas Sukan Olimpik serta Kejohanan Dunia dan merupakan siri super tertua dunia, walaupun saya sudah menjadi juara sebanyak tiga kali tetapi saya mahu menang lagi.

“Jadi, saya akan melakukan terbaik bagi memenangi kejuaraan kali keempat,” katanya.

Sebagai rekod, bekas pemain nombor satu dunia itu memenangi gelaran Seluruh England pada 2010, 2011 dan 2014.

Tahun lalu beliau tidak beraksi selepas digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana terlibat dengan isu doping.

“Tahun lalu saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, tapi yang lepas biarlah lepas. Sekarang saya mahu fokus dan kembali merampas trofi itu tahun ini,” ujarnya.

Mengenai persiapannya, Chong Wei berkata, semuanya berjalan dengan lancar.

“Dari aspek persiapan, semuanya sudah ok, cuma beberapa hari menjelang kejohanan saya sedikit demam.

“Tapi, ia bukan masalah besar dan saya sudah kembali sembuh,” katanya yang akan diiringi dua jurulatih di Birmingham, iaitu Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Hormati lawan

Pemain berusia 34 tahun itu boleh dikatakan mendapat laluan mudah dalam misi memburu gelaran keempat tahun ini yang akan berlangsung di Birmingham bermula esok hingga 13 Mac.

Tampil sebagai pilihan kedua, Chong Wei hanya akan bertemu dua musuh utamanya, Lin Dan dan Chen Long dari China jika layak ke final.

Beliau akan membuka tirai saingan Seluruh England menentang pemain India, P Kashyap pada pusingan pertama itu dijangka mara ke suku akhir bertemu pilihan ketujuh, Chou Tien Chen dari Taiwan.

Bintang muda Jepun, Kento Momota dijangka menjadi lawannya andai layak ke separuh akhir.

“Saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenai lawan saya, yang penting fokus satu demi satu perlawanan.

“Dengan persiapan ketika ini, saya yakin boleh tampil dengan prestasi baik,” jelasnya lagi.

Chong Wei turut menganggap undian mudah langkah pertama merampas semula gelaran dimenangi pada 2014.

“Walaupun saya ada peluang, namun saya tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan lain,” katanya.

Selain Chong Wei, Chong Wei Feng, Zulfadli Zulkifli turut beraksi dalam acara perseorangan lelaki.

Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula mengalas cabaran untuk beregu lelaki manakala Vivian Hoo-Woon Khei Wei beraksi untuk beregu wanita.

Beregu campuran pula digalas oleh Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");