Sukan Hari Ini

Kedah Turunkan ‘Arkitek’ Muda

PEMAIN muda Kedah, Amirul Hisyam Awang Kecik bakal menggalas tugas sebagai ‘tulang belakang’ skuad Helang Merah ketika mereka turun menentang Sarawak dalam saingan Liga Super di Kuching pada Sabtu.

Pemain berusia 20 tahun itu kembali cergas selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini.

Kehadiran bekas pemain kebangsaan Bawah-17, 20 dan 23 tahun itu turut melegakan Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dalam memperkemaskan bahagian tengah skuad berkenaan.

“Saya lega kerana dapat membariskan kesebelasan utama ketika bertemu Sarawak kerana Amirul Hisyam dapat beraksi semula selepas direhatkan akibat kecederaan.

“Ketiadaannya dalam perlawanan Piala FA sebelum ini memang dirasai kerana dia antara pemain yang mampu menjadi penggerak dan pantas dalam mematahkan asakkan lawan.

“Bagaimanapun terdapat dua pemain yang tidak dapat dibawa ke Sarawak iaitu pertahanan kanan, Rizal Ghazali dan penyerang, Ahmad Fakri Saarani kerana masing-masing masih belum pulih daripada kecederaan,” jelas Cheng Hoe (gambar) kepada mStar Online.

Tambahnya, Syazwan Zainon juga mungkin akan kembali menguatkan kesebelasan utama selepas pemain kelahiran Perlis itu kembali menunjukkan perkembangan positif dari segi kecergasan.

Menurut Cheng Hoe, skuadnya mempunyai misi penting dan perlu pulang dengan tiga mata penuh daripada perlawanan itu.

“Kita akui bahawa menentang lawan di gelanggang mereka bukan satu tugas mudah, namun kita juga mempunyai misi penting yang perlu dilaksanakan dalam perlawanan ini.

“Pemain telah bersedia untuk perlawanan ini…dan apa yang penting adalah mereka perlu ikut disiplin yang ditetapkan.

“Jangan buat kesilapan yang akan memberi ruang kepada pasukan tuan rumah mendapatkan jaringan dan kita perlu menggunakan peluang yang ada untuk pulang dengan tiga mata,” tegasnya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");