Berita Hari Ini

Kem Tentera Darat Esscom dijangka siap dalam setahun

KLUANG – Pembangunan kem tentera darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang dirancang di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah, kini di peringkat akhir pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh setahun.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, pembangunan kem berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu ketika membentangkan Bajet 2016 dan menerusinya, sebuah briged baharu akan ditubuh.

“Ia juga akan dilengkapkan dengan sebuah pasukan batalion infantri dan pasukan bantuan khidmat serta tempur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perbarisan sempena Hari Ulang tahun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ke-21 di Kem Mahkota, di sini, hari ini.

Menurut Raja Mohamed Affandi, setakat ini, pihaknya belum memutuskan nama bagi briged baharu berkenaan.

Pada Oktober tahun lalu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM17.3 bilion kepada Kementerian Pertahanan sebagai komitmen melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia secara berperingkat.

Peruntukan tersebut meliputi antaranya memperkemas aset dan teknologi ketenteraan serta turut memperuntukkan sejumlah RM523 juta untuk pembangunan kem tentera darat Esscom di Felda Sahabat, Lahad Datu.

Terdahulu, dalam ucapannya, Raja Mohamed Affandi berkata beliau berbangga dengan pencapaian yang dilakar PUTD selama 20 tahun, biarpun ia bermula dengan penubuhan unit kecil, dahulu.

Katanya, PUTD kini sudah gah sebagai elemen tempur Tentera Darat (TD) yang berjaya membuktikan keupayaan pesawat, juruterbang, anggota dan kumpulan tadbirnya.

“Kita semua sedar kuasa udara merupakan satu elemen penting bagi meningkatkan keupayaan TD melaksanakan operasi dengan lebih berkesan.

“Justeru, saya ingin menekankan di sini betapa pentingnya PUTD untuk melahirkan juruterbang serta kru darat yang cekap agar aset-aset mereka tidak terbiar begitu sahaja,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Tunku Temenggong Johor Mejar Tunku Idris Sultan Ibrahim, Ketua Staf Markas TD Mejar Jen Datuk Shahrani Mohd Sany, Panglima 7 Briged Brigedier Jen Mohd Hassan Loman serta Pengarah PUTD Kol Suhaimi Hussain.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");