Panasnya Hari Ini

Kempen Desak Najib Undur, Umno Tidak Terjejas- Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan keyakinan bahawa kempen anti-Najib yang bertujuan untuk menyingkir perdana menteri sama sekali tidak akan menjejaskan parti atau presiden.

Ujarnya, walaupun banyak perkara telah diperkatakan mengenai Umno dan Malaysia pada tahun lepas, bagaimanapun parti atau negara tidak pernah terjejas.

“Kita hanya perlu berdepan dengannya. Mereka telah membuat banyak perhimpunan dan terdapat ramalan dilakukan terutamanya pada tahun lepas.

“Undi tidak percaya, (komen) bajet tidak diluluskan, pemimpin-pemimpin dunia tak akan datang ke Malaysia dan perhimpunan Umno tak akan berjalan lancar, tetapi itu tidak berlaku, tiada satu pun yang berlaku,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen memetik sumber Mstar Online.

Mengulas mengenai perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang akan diadakan pada 27 Mac, Hishammuddin hanya menyifatkannya sekadar ‘satu lagi perhimpunan’.

“Kami akan menghadapinya. Akhirnya orang ramai yang akan menentukannya, bukan suara-suara yang menjerit kuat.

“Mereka tidak mewakili suara majoriti,” katanya.

Sementara itu mengenai gesaan supaya timbalan presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti, jelasnya,hanya Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Apa pun, kita perlu tunggu sehingga mesyuarat kerana kita tidak mewakili Majlis Tertinggi.

“Saya telah katakan bahawa apa yang penting berkaitan perkara ini adalah disiplin parti dan saya rasa ia akan menjadi isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat majlis tertinggi pada 25 Mac,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");