Panasnya Hari Ini

Khairuddin Sifatkan Anwar Sebagai Orang Berjiwa Besar

KUALA LUMPUR: Bekas ahli UMNO, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menyifatkan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang berjiwa besar.

Jelasnya, hal ini kerana Anwar tahu Deklarasi Rakyat yang ditandatangani semalam merupakan usaha mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman ideologi politik.

“Anwar Ibrahim tahu program hari ini (semalam) adalah daya usaha murni Tun Dr Mahathir untuk menyatupadukan semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman ideologi politik bagi merencanakan satu gerakan ke arah menyelamatkan negara Malaysia dari segala bentuk kemungkaran, salah laku, rasuah dan sebagainya.

“Keikhlasan Anwar Ibrahim juga dapat dilihat secara jelas tanpa membenarkan dirinya dibelenggu oleh sekelumit pun perasaan selisih faham antara beliau dengan kami pada suatu masa dulu,”katanya, menerusi catatan terbaru di Facebook miliknya.

Terdahulu, seramai 58 individu terdiri daripada bekas ahli kerajaan, termasuk Tun Mahathir, pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

Kata Khairuddin lagi, kejayaan program ‘Selamatkan Malaysia’ semalam telah mencatat sejarah lanskap politik baru di Malaysia.

Ianya berikutan, ujar Khairuddin, hampir semua tokoh-tokoh terkenal dari berbagai pertubuhan politik telah bersatu hati secara kolektif bagi menyelamatkan Malaysia.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyokong kenyataan aktivis dan peguam, Ambiga Sreenevasan yang menzahirkan hasratnya berjuang bagi membebaskan Anwar daripada penjara.

“Saya secara peribadi dedikasikan kejayaan ini buat Anwar Ibrahim yang kini sedang berada di Penjara Sungai Buloh.

“Insya Allah saya akan jadi orang yang pertama yang bakal hadir dalam mana-mana anjuran untuk membebaskan Anwar Ibrahim di masa akan datang,”ujarnya.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");