SRI AMAN: Pembinaan Kompleks Penyayang Sri Aman di sini, kemudahan pertama seumpamanya di Malaysia, membuktikan komitmen berterusan kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan sistem penyampaian awam.
Melalui kemudahan itu, pelbagai agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat disatukan di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan golongan sasar, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata Sarawak amat bertuah dipilih lokasi pertama projek pertama seumpamanya diperkenalkan di Malaysia itu yang bakal diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat selepas ini.
“Inisiatif ini memudahkan penyelarasan perkhidmatan kepada kumpulan sasar seperti golongan wanita, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas. Ia secara tidak langsung meningkatkan tahap kecekapan setiap agensi dan jabatan dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.
Majlis Perasmian Kompleks Penyayang Sri Aman adalah sebahagian daripada acara kemuncak Program Kembara Kebajikan 1Malaysia di bandar ini, lokasi persinggahan pertama peserta kembara yang dilepaskan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Lundu, kelmarin.
Pengurusan pusat berkenaan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan 18 pegawai sokongan. Ia yang mula beroperasi 1 November lalu turut menempatkan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Rohani berkata, kementerian memahami kesukaran golongan sasar dalam proses memohon bantuan agensi dan jabatan berkaitan disebabkan pelbagai kekangan, terutama faktor logistik bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Antara perkhidmatan disediakan di kompleks itu ialah pendaftaran bantuan, urusan permohonan bantuan kewangan bulanan serta pusat aktiviti bagi warga emas, kanak-kanak dan OKU, khidmat perlindungan wanita serta pusat asuhan (TASKA).
Khidmat lain, program latihan kapasiti kepada wanita mendapatkan kemahiran penjagaan ibu selepas bersalin (Mamacare), saringan kesihatan, kaunseling dan psikologi, bantuan bencana serta urusan kemasukan ke institusi kebajikan.
Yang turut disediakan, stor pangkalan hadapan bagi menyimpan bekalan atau persiapan bencana, bilik kaunseling, pusat sumber, pusat aktiviti wanita, sukarelawan, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan berteraskan kebajikan serta bilik operasi.
Rohani yakin kerjasama penduduk setempat bagi penganjuran aktiviti di kompleks itu mampu memberi impak positif terhadap perkhidmatan kebajikan, pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Mengenai Program Kembara Kebajikan 1Malaysia, Rohani berkata, ia bagi menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti kebajikan, selain menyemarakkan semangat kesukarelawan yang digerakkan menerusi aktiviti kembara ke setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Kembara yang memberi tumpuan kepada program Gema [email protected], Cari dan Bantu serta Khidmat Bantu Di Rumah itu, dijadual melabuhkan tirai di Hutan Melintang, Bagan Datoh, Perak dengan majlis penutup pada 9 April dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
-Harian Metro