Jenayah

Lokek ambil lesen

Kuala Lumpur: Motosikal besar berharga puluhan ribu ringgit mampu dibelinya. Namun pemilik motosikal berkuasa tinggi itu berusia 30-an yang ditahan polis didapati tidak pernah memiliki lesen menunggang motosikal.

Lelaki berusia 30-an itu bersama tiga rakannya ditahan ketika melalui sekatan jalan raya Ops Bersepadu dijalankan polis Trafik Kuala Lumpur di Jalan Bangsar menghala pusat bandar di sini, awal pagi semalam.

Pegawai Penguatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Sahimi Husin berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sah.

Menurutnya, seorang lagi rakan lelaki itu didapati menunggang motosikal berkuasa tinggi menggunakan cukai jalan yang sudah tamat tempoh sah.

Beliau berkata, operasi bermula jam 9.30 malam kelmarin, mendapati kesalahan tidak mempunyai lesen memandu sah mencatatkan kesalahan paling tinggi iaitu seramai 73 individu termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit.

“Pihak kami mengeluarkan 224 saman membabitkan 257 kesalahan antaranya tiada lesen memandu (73), cukai jalan tamat tempoh (39), lesen memandu tamat tempoh (2), gagal mempamerkan tanda P (9), tiada cermin sisi (24) dan tidak memasang tali pinggang keledar (1).

“Sebanyak 57 motosikal disita dalam operasi ini,” katanya ketika ditemui ketika operasi berkenaan, malam kelmarin.

Beliau berkata, operasi khas membabitkan tujuh pegawai dan 47 anggota itu turut menahan empat remaja bawah umur yang menunggang motosikal milik ibu bapa mereka tanpa lesen sah.

“Saya kesal dengan sikap segelintir ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen. Mereka sepatutnya mengambil iktibar kisah pelajar sekolah menengah di Sabak Bernam, Selangor, yang putus kedua-dua belah kaki kerana digilis lori,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");