Jenayah

Maritim tingkat pemantauan pencerobohan bot kenka

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) akan meningkatkan pemantauan dan strategi berkesan serta bekerjasama dengan agensi lain bagi mengukuhkan penguatkuasaan terhadap pencerobohan ‘bot kenka dua bot’ di Kuala Kurau, Perak.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata setakat ini, maritim telah membuat 171 tangkapan melibatkan 342 bot kenka dan kesemua yang ditahan telah dikenakan kompaun dan denda oleh Jabatan Perikanan.

Sepanjang tahun lalu, menurutnya maritim menerima 86 aduan mengenai pencerobohan bot kenka dalam kawasan lima batu nautika dari pantai yang berisiko merosakkan ekosistem selain menjejaskan pendapatan nelayan tradisional.

“Daripada jumlah itu, 95 peratus aduan telah diambil tindakan yang mana 354 bot kenka telah diperiksa, manakala 32 bot lagi telah ditahan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan aduan mengenai kelemahan penguatkuasaan bagi menangani pencerobohan bot pukat kenka di dua pantai di Kuala Kurau.

Ahmad Puzi berkata, maritim bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman mengikut mana-mana undang-undang persekutuan seperti yang termaktub di bawah Seksyen 6 (1) (a) Akta APMM 2004, termasuk Akta Perikanan Malaysia 1985.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua peraturan berkaitan aktiviti perikanan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

Menurutnya aktiviti penangkapan ikan menggunakan ‘bot kenka dua bot’ diwartakan Jabatan Perikanan sejak 1970-an meliputi kawasan seluas tujuh batu nautika kali 10 batu nautika persegi di daerah Kerian, Perak.

“Mengikut rekod Jabatan Perikanan, sejumlah 534 bot pukat kenka dua bot atau sejumlah 267 pasang bot telah dilesenkan secara sah manakala pengeluaran lesen baharu telah dibekukan,” katanya.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) pada minggu lepas dilaporkan sebagai berkata terdapat kelemahan penguatkuasaan oleh Jabatan Perikanan dan polis marin dalam membasmi pencerobohan dalam kawasan lima batu nautika dari pesisir pantai.

Selain itu, EAIC turut mendapati terdapat kebocoran maklumat berkenaan pergerakan bot peronda maritim dan Jabatan Perikanan ke lokasi pencerobohan melalui ‘tonto’.

Ahmad Puzi berkata, maritim turut mengambil maklum cadangan EAIC supaya pihaknya memindahkan pangkalan sedia ada di Kuala Kurau.

Menurutnya lokasi baharu telah dikenal pasti di Ban Pecah, Tanjung Piandang yang berkeluasan 9.7 ekar.

“Kelulusan bagi pemilikan kawasan ini sedang dijalankan di samping permohonan kewangan bagi pembinaan sebuah pangkalan maritim,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");