Panasnya Hari Ini

Muhyiddin Kekal Sebagai Ahli UMNO

KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tidak akan meninggalkan parti tersebut walaupun jawatan beliau digantung.

Katanya lagi, beliau menjadi ahli UMNO kerana beliau percaya dan yakin parti itu berjuang demi nasib anak bangsa.

“Jauh sekali kerana Datuk Seri Najib (Tun Razak). Saya jadi ahli UMNO kerana saya percaya parti ini berjuang untuk nasib anak bangsa.

“Rakan-rakan seperjuangan dan isteri yang saya sayangi juga sependapat dengan saya iaitu saya perlu kekal dalam UMNO kerana inilah darah daging saya,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan selepas digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO, minggu lalu.

Jelas Muhyiddin lagi, beliau telah meminta pandangan dan pendapat daripada rakan-rakannya serta pemimpin di peringkat akar umbi dan berpendapat, beliau perlu kekal dalam UMNO.

“Selepas saya digugurkan dari Kabinet sebelum ini (Julai 2015), atas dasar prinsip saya untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan, maka ramai yang menyokong saya.

“Mereka tak pernah tanya saya UMNO atau bukan UMNO kerana mereka tahu saya UMNO. Tapi saya percaya mereka menyokong atas dasar perjuangan yang saya laksanakan.

“Jadi saya tidak fikir atas sebab itu saya harus keluar hanya kerana Tun Dr Mahathir membuat pilihan untuk keluar. Itu hak beliau. Saya menghormatinya. Atas sebab apa pun, beliau lebih tahu,”ujarnya.

Kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, keputusan beliau untuk terus kekal bersama UMNO adalah kerana beliau masih mempunyai amanah untuk dilakukan.

“Saya dipilih dalam perhimpunan agung, apakah wajar saya meninggalkan jawatan saya selepas orang memilih dan memberi kepercayaan? Adakah wajar saya hampakan mereka hanya kerana sebab-sebab peribadi?

“Walaupun saya sedar ramai yang berkata, ‘Tan Sri kenapa masih kekal dalam UMNO? UMNO sudah rosak. UMNO dipimpin oleh pemimpin yang korup. UMNO tidak bersalah’. Yang bersalah ialah orang-orang UMNO yang melakukan kemungkaran.

“Maka sebab itu saya rasa wajar untuk saya kekal dalam UMNO untuk memerangi kemungkaran dari dalam. Kalau saya diluar UMNO, ‘kenapa saya nak sibuk? Saya bukan lagi ahli UMNO’. Sekarang saya masih ahli UMNO dan ada hak untuk menegur,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");