Berita Hari Ini

Pekerja asing: MoU dengan Bangladesh batal?

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkan agar tidak hanya mengumumkan tiada sebarang pengambilan pekerja asing baharu di negara ini berkuat kuasa serta-merta hanya kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal menjelang.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, Ahmad Zahid perlu mengotakan apa yang dikatanya semalam.

“Jangan kerana hanya untuk menghadapi PRN Sarawak tidak berapa lama lagi atau untuk menyejukkan keadaan di mana pelbagai pihak sedang marah terutama kesatuan sekerja dan media sosial ketika pengangguran dan pembuangan kerja di kalangan penduduk tempatan semakin serius,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mengesahkan Kabinet telah memutuskan bahawa tiada sebarang pengambilan pekerja asing akan dilakukan berkuat kuasa serta-merta dan mana-mana majikan dan ejen yang membawa masuk pekerja tanpa izin ke negara ini akan berhadapan dengan hukuman sebat bukan lagi denda.

Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa pihak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negara (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain kementerian tidak akan meluluskan mana-mana permohonan majikan untuk membawa pekerja asing dari luar kecuali sektor pembantu rumah.

Dalam pada itu, Idris berkata, rakyat mahu ketegasan dan penjelasan kerajaan tentang status perjanjian persefahaman (MoU) antara Bangladesh dengan Malaysia yang ditandatangani bulan lalu untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

“Berdasarkan perjanjian itu, mekanisme penghantaran pekerja akan dibuat berdasarkan sistem G2G Plus.

“Apakah MoU itu terbatal begitu sahaja? Apa reaksi di pihak kerajaan Bangladesh? Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana membatalkan MoU ini?,” tanyanya.

Dalam kenyataan sama, Idris berkata, kerajaan perlu membuat satu penegasan mengenai pekerja asing memandangkan banyak sektor yang boleh melibatkan orang tempatan di sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Maka kerajaan mesti membuat saringan semula untuk memastikan tenaga asing yang diperlukan sahaja untuk bekerja di negara ini. Selebihnya perlu dihantar balik ke negara mereka dan ditempatkan penduduk tempatan di sektor tersebut,” katanya.

Dua hari selepas MoU itu ditandatangani, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa kerajaan telah membekukan pengambilan semua pekerja asing termasuk dari Bangladesh untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula levi dua kategori ke atas pekerja asing dan memberi tumpuan kepada program penggajian semula pekerja asing.

Sementara, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot dilaporkan berkata keputusan pembekuan itu tidak menjejaskan kesahihan MoU yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh di Dhaka.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");