Panasnya Hari Ini

‘Pembebasan Anwar Perlu Dimasukkan Dalam Reformasi’ – Ambiga

Foto:-Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi seperti yang telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Aktivis sosial dan peguam, Ambiga Sreenivasan berkata, Deklarasi Rakyat yang telah ditandatangani oleh 58 individu termasuk bekas pemimpin kanan kerajaan, pemimpin pembangkang, aktivis dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu tidak sepatutnya terhad kepada isu penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.

“Ia bukan hanya mengenai menyingkir seorang lelaki tetapi juga mengenai reformasi. Ia adalah mengenai demokrasi, mengukuhkan institusi, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil serta mewujudkan semula kedaulatan undang-undang.

“Kami berada di sini kerana kami percaya bahawa rakyat Malaysia lebih layak daripada apa yang dilalui sekarang.

“Dan isu pembebasan Anwar mesti dimasukkan dalam agenda reformasi itu,”katanya, lapor Free Malaysia Today.

Sementara itu, berkaitan isu untuk menyingkirkan Najib pula, Ambiga menyifatkan perkara itu sebagai salah satu proses demokrasi dan tiada kaitan dengan hal peribadi.

Dalam masa yang sama, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah juga bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Ambiga.

Katanya, apa yang penting adalah Najib perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Tidak ada perundingan dalam isu penyingkiran Najib. Kami sama-sama menuntutnya dan kami berada di sini untuk perubahan jangka panjang,”katanya.

Terdahulu, Tun Mahathir hari ini mengumumkan satu deklarasi untuk menyingkirkan Najib di mana beliau juga mengajak untuk melakukan satu reformasi selepas itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");