Jenayah

Penyamun panik penggera berbunyi

SEKINCHAN– “Perasaan saya tiba-tiba jadi cemas bila nampak kedua-duanya pegang tukul besi, nasib baik kami tak dihentak perompak,” kata anak kepada pemilik kedai emas, Ah Wee, 36, selepas premis di Jalan Radin Pekan Sekinchan, di sini, nyaris disamun dua penjenayah petang, kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 itu, dia dan ibunya yang ketika itu berada di belakang ruang cermin pameran tergamam sejurus didatangi dua lelaki bersenjatakan tukul besi.

Dia berkata, seorang suspek yang memakai topi keledar sempat mengugut mereka supaya menyerahkan wang tunai sebelum kedua-dua lelaki itu menghampiri cermin ruang pameran premis terbabit.

“Mereka cakap mahu wang. Tapi saya tak beri, sebaliknya saya jerit sekuat hati panggil polis tolong datang sini ada perompak.

“Memang waktu tu saya rasa takut, tapi saya beranikan diri agar mereka (perompak) melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dua perompak itu sempat memecah cermin barangan kemas dengan menggunakan tukul besi terbabit.

“Kejadian berlaku hanya dalam masa dua minit. Dua lelaki bertubuh kurus sempat pecahkan cermin kaca di dua ruang cermin pameran berasingan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dua lelaki itu sempat melarikan diri selepas dia bertindak membunyikan sistem penggera di premis terbabit.

“Bila penggera bunyi mereka jadi panik dan lari. Walaupun cermin pecah, tapi penjenayah tak sempat bawa lari barang kemas tersebut,” katanya.

Katanya, suspek dipercayai membawa sebuah kereta jenis Honda Jazz yang diparkir kira-kira dua meter di hadapan premis sebelum sempat melarikan diri dengan kenderaan terbabit.

“Tak tentu arah kedua-dua suspek bila penggera berbunyi. Tanpa berlengah, mereka terus beredar dari premis ini,” katanya.

Menurut Wee, kejadian cubaan samun itu adalah kali pertama berlaku sejak kedai emas yang diusahakan moyangnya itu dibuka pada tahun 1968.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, polis sehingga kini masih menjalankan gerakan memburu dan mengesan suspek terlibat.

“Pihak kami telah meneliti Rakaman Kamera Tertutup (CCTV) premis terbabit untuk mengenal pasti identiti suspek.

“Tiada sebarang kecederaan yang dialami pemilik premis. Hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek gagal melarikan barang kemas terbabit dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");