Panasnya Hari Ini

Perjuangan Tun M Bukan Lagi Perjuangan Untuk Orang Melayu- Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Veteran UMNO Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan perjuangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini bukan lagi perjuangan untuk orang Melayu, sebaliknya lebih bersifat peribadi.

Beliau turut menyatakan merasasedih dengan tindakan yang diambil Dr Mahathir yang disifatkannya jelas bercanggah dengan perjuangannya sebelum ini.

“Saya tak nampak ia (Kongres Rakyat) berjaya sebab amat jelas bahawa Tun mengadakan program-program ini sekali gus menidakkan apa yang dia buat dahulu. Dahulu beliau mempunyai keyakinan dan kesabaran untuk menaikkan UMNO semula dan orang Melayu, sekarang politik beliau bukan untuk orang Melayu lagi, bukan untuk semerbak perjuangan dalam BN (Barisan Nasional) lagi.

“Beliau menjadikan arena politiknya sebagai arena peribadi dan apa sebab, tentulah ada kaitan dengan rentetan peristiwa yang membawa kepada (pemecatan) Datuk Seri Muhkriz di Kedah,” katanya selepas menghadiri majlis Santapan Minda anjuran Yayasan Budi dan Biro Penerangan BN Parlimen Jelebu semalam memetik sumber Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Kongres Rakyat pada Ahad di Shah Alam, Selangor yang turut disertai oleh Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak tertarik untuk menyertai atau memberi sokongan kepada hujah-hujah yang disambut baik oleh pembangkang dan pihak yang mahu menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

“Perlu ditegaskan dalam sistem demokrasi dan perundangan negara bahawa memang boleh seseorang itu seperti Tun Mahathir seru agar perdana menteri meletak jawatan. Namun, kesemua ini perlu diasaskan kepada undang-undang negara (yang mana) ada dua perkara yang seharusnya difikirkan.

“Ia ialah apabila Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tidak percaya kepada beliau (Najib) atau apabila anggota Parlimen di Dewan Rakyat meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau. Jika sebarang langkah ini tidak dapat dilaksanakan, maka Najib tidak boleh diseru untuk letak jawatan waima dengan sejuta tandatangan diperoleh oleh Tun Mahathir dan sekutunya,” katanya.

Tambahnya, sekiranya terdapat perasan tidak berpuas hati ia hendaklah diterjemahkan dan dilakukan menerusi pilihan raya.

“Sementara itu, benarkan perdana menteri dan (jemaah) Kabinetnya menjalankan tugas negara,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya UMNO dan BN terus mempertingkatkan usaha bagi memenangi hati dan minda golongan muda menerusi pemerkasaan media sosial dan juga sistem penyampaian.

“Cabaran bagi kita di PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) bukan kecil sebab generasi muda dalam lingkungan umum 21-40 berada pada tahap lebih 60 peratus. Jadi gesaan dan juga kegiatan dalam talian mesti ditingkatkan.

“Cara ini, saya kira memang mencabar dan kita perlu dalam keadaan yang suntuk untuk memperbaiki sistem penyampaian dan keberkesanan kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");