Membawang Hari Ini

Peserta ‘pembantu’ tekad cabar

Program realiti yang mencungkil bakat nyanyian peserta berusia lebih 40 tahun, Kilauan Emas kembali dan kali ini lebih hebat apabila menampilkan versi ‘otai’ mengumpul juara lima musim beradu kemampuan vokal mereka.

Kehebatan vokal juara Kilauan Emas musim pertama, Ali Norpiah atau Ali, Ahmad Fuad Zaharullail atau Fuad (juara KE2), Mior Yazid Ahmad (Mior – juara KE3), Omar Sharif Mat Din (Arip – juara KE4) dan Mustaffa Rasyid Abd Jabar (Mustar – juara KE5) disaksikan buat kali pertamanya Rabu lalu melalui Konsert Kilauan Emas Otai (KEO) minggu pertama.

Lebih menarik, 10 peserta yang dianggap memiliki kekuatan vokal dan persembahan daripada kelima-lima musim turut dipilih untuk bertanding.

Bagaimanapun, daripada 10 itu, hanya lima dipilih berdasarkan penilaian persembahan dilakukan juri tetap, Datuk Ramli M.S dan Erra Fazira serta juri jemputan, Edry Abdul Halim yang akan berentap bersama juara-juara.

Mereka ialah Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman atau Elji yang juga naib juara KE5, Idris Mohd Shabidin (Idris – naib juara KE3), Mohammad Nasiruddin Mohd Hashim (Nas – peserta KE4), Silahudin Ali (Silah – pemenang ketiga KE3) dan Benasil Kudong atau Ben (tempat ketiga KE4).

Melihat persembahan oleh kelima-lima peserta dipilih juri pada konsert minggu pertama KEO, ternyata mereka mampu memberi sai­ngan kepada lima peserta bergelar juara.

Ben mahu menggunakan pentas KEO untuk membuktikan kemampuan sebenarnya kerana sebelum ini pada KE4, peserta dari Sabah itu mendapat tempat ketiga.

“Waktu konsert akhir dulu, saya tidak dapat me­nyanyi dengan baik dan mendapat kritikan. Kali ini apabila diumumkan terpilih untuk bertanding lagi bersama juara musim lalu, saya mengharapkan kesihatan saya baik sekali gus membuktikan kepada penonton yang saya sebenarnya mampu menyanyi dengan baik.

“Saya akan membuat persiapan rapi termasuklah mendendangkan semua jenis muzik seperti yang dipopularkan Puff Daddy, Sam Smith dan Bruno Mars,” katanya.

Elji pula tidak mahu menaruh harapan tinggi sebaliknya berasakan dirinya peserta bukan pilihan.

Katanya, penyertaan kali ini dalam KEO untuk memberi saingan kepada juara musim terdahulu. Tambah pula selepas persaingan KE5 tamat, dia meneruskan latihan vokal yang dipelajari sebelum ini hingga sekarang.

“Saya harap ilmu yang ditimba sebelum ini dapat digunakan dalam KEO,” katanya.

Bagi Idris pula, walaupun dikritik kerana suaranya mirip Datuk Jamal Abdillah sewaktu mendendangkan lagu Ghazal Untuk Rabiah pada persaingan konsert KEO, dia menafikan persamaan itu.

Katanya, dia sudah mengubahnya mengikut kesesuaian persembahan dan vokal.

“Rasanya mirip atau mengikut suara Jamal itu tidak berlaku,” katanya.

Untuk persaingan minggu depan, Idris akui hanya mengikut apa yang disiapkan pihak produksi termasuklah lagu yang didendangkan.

“Saya tidak kesah kerana boleh menyanyi semua jenis lagu. Cuma susah sikit kalau diberi lagu Inggeris, kerana saya tidak faham. Jadi kalau menyanyikannya, kurang penghayatan,” katanya.

Nyanyian Silah sewaktu mendendangkan lagu O-Tak nyanyian asal Awie tidak saja mendapat pujian pengkritik, juga penonton KEO. Suara dan persembahannya sungguh mantap dan bertenaga.

Begitupun pada pengakhiran persembahan, dia seakan tercungap dan kepenatan. Situasi seperti itu mungkin menghalangnya memberi persembahan terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.

Silah akui perasaan gementar dan suasana pertandingan memberi tekanan kepadanya hingga menyebabkan dia berasa penat pada akhir persembahan.

“Ini juga disebabkan faktor usia, maklumlah saya mendendangkan lagu orang muda sedangkan usia saya sudah mencecah 55. Begitupun, saya cuba juga kerana tahu saya mampu menyanyikannya dengan baik.

“Saya sudah tahu kelemahan diri, jadi mulai sekarang saya harus menjaga pemakanan dan juga bersenam selalu,” katanya.

Pesembahan peserta dari Pahang, Nas pula dikatakan lemah sewaktu mendendangkan lagu pilihan All Of Me nyanyian asal John Legend. Seharusnya ada peserta lain yang lebih layak untuk mengisi tempat bagi meneruskan persaingan.

Nas menegaskan, dia cuba membuat persembahan selamat dengan menitikberatkan teknikal untuk menonjolkan emosi sehingga menyebabkan dia lupa aspek teknikal lain.

“Saya akan perbaiki kelemahan untuk persembahan akan datang dan memberikan saingan kepada peserta lain yang pernah bergelar juara. Saya juga sudah bersedia dengan pelbagai genre lagu,” katanya.

Selain menyediakan hadiah wang RM150,000 untuk juara, KOE yang disiarkan setiap Rabu menerusi Astro Prima (Saluran 105) dan Maya HD (Saluran 135) juga menawarkan hadiah RM50,000 untuk naib juara, RM30,000 (ketiga), RM10,000 (keempat) dan RM10,000 (anugerah khas juri).-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");