Jenayah

Polis berjaya tahan suspek curi kereta guru

KOTA TINGGI: Polis berjaya menemui kembali kereta Proton Persona milik seorang guru perempuan yang disamun di Bandar Penawar pagi kelmarin dengan tertangkapnya seorang suspek lelaki di kawasan parkir Jalan Putra 2, Taman Tan Sri Yaakop, Iskandar Putri, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata bertindak atas maklumat yang diterima kira-kira jam 4.20 petang pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan dibantu JSJ Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah berjaya mengesan kereta tersebut di kawasan berkenaan.

“Hasil pemerhatian dibuat, pada jam 5.30 petang pasukan terlibat mendapati terdapat seorang lelaki telah membuka pintu kereta tersebut menggunakan alarm.

“Sebaik suspek memasuki kereta di bahagian hadapan kiri, pasukan telah membuat serbuan dan berjaya menangkap suspek yang berusia 38 tahun beralamat di Taman Tenggara, Segamat,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahmat berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta telah menemui dan merampas pisau yang diakui suspek digunakan semasa melakukan samun.

Turut dijumpai satu tablet Asus milik mangsa dan pakaian yang digunakan semasa kejadian samun.

“Nombor pendaftaran asal kereta terbabit juga telah ditukar namun cukai jalan yang dipamerkan masih yang asal.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 9 Mac. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dengan bersenjata atau rompak serta mencuba menyebabkan kematian atau cedera parah,”katanya lagi.

Terdahulu, Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang guru terpaksa menanggung rugi selepas disamun seorang suspek yang bersenjatakan parang di kawasan parkir kereta berhampiran deretan kedai di Desaru Utama Bandar Penawar, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu kereta jenis Proton Persona, telefon bimbit jenis Samsung, satu tablet jenis Asus dan wang tunai RM1000 milik mangsa telah berjaya dilarikan suspek.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");