Sukan Hari Ini

Prestasi pasukan Sarawak dinilai semula

BIARPUN pengurusan pasukan Sarawak kecewa dengan prestasi skuad berkenaan selepas lima perlawanan Liga Super setakat ini, ketua jurulatih Sarawak Datuk K. Rajagobal optimis segalanya akan berubah dan mereka akan memenangi perlawanan selepas ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman, yang turut menyaksikan Sarawak sekadar seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi, melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukan berkenaan.

“Kami akan menilai semula keseluruhan pasukan daripada semua aspek termasuk latihan, prestasi dalam setiap perlawanan serta prestasi pemain dan jurulatih dalam tempoh rehat Liga Super selama tiga minggu akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Beliau berkata pasukan Sarawak perlu bangkit menampilkan aksi terbaik atau bakal berdepan tugas getir dalam saingan Liga Super musim ini.

Sudarsono berkata pemain Sarawak tidak memiliki penyudah yang baik untuk membolosi gawang lawan sepertimana ditampilkan mereka dalam lima perlawanan sebelum ini.

Berkongsi kekecewaan adalah pengurus pasukan Abdullah Julaihi, yang berkata prestasi setiap pemain perlu dinilai selepas ini.

Abdullah yang juga Setiausaha Agung FAS, berkata jentera serangan Sarawak perlu memperbaiki ketajaman mereka menjaringkan gol, sambil optimis pasukan itu mampu menyerlah dalam saingan liga tersebut musim ini.

Sementara itu, Rajagobal mengakui anak buahnya kurang agresif, selain barisan penyerang yang tumpul.

Katanya pasukan berkenaan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, namun mensia-siakan peluang, dan beliau berjanji memperbaiki kelemahan itu semasa tempoh rehat Liga Super.

“Saya bukan memberi alasan tetapi kecederaan yang menimpa beberapa pemain sedikit sebanyak menjejaskan perancangan serta strategi permainan kami. Namun saya optimis segalanya akan berubah,” kata Rajagobal.

Beliau berkata selepas beraksi lima perlawanan dan sekadar seri dua perlawanan, pemain-pemain perlu bekerja keras bagi mencipta kemenangan.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Kedah, Rajagobal memuji semangat juang yang ditampilkan pemainnya apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan.

Beliau berkata nasib tidak menyebelahi Sarawak walaupun pasukan berkenaan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");