Panasnya Hari Ini

Rakyat Sudah Mula Tolak Kerajaan Secara Terang-Terangan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat sudah mula menunjukkan peralihan pendapat apabila secara terang-terangan menolak kerajaan sedia ada.

“Negara kini dilanda masalah berat kerana rakyat mula hilang kepercayaan terhadap UMNO. Ini merisaukan saya kerana selaku naib presiden parti, saya tidak mahu UMNO jatuh kerana kesilapan sesetengah individu.

“Buktinya, apabila kita melihat pembangkang semakin berpengaruh. Sedangkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa kawasan sebelum ini, sokongan terhadap BN dahulunya kuat semakin goyah, walaupun pembangkang jelas tidak berusaha mendekati masyarakat. Inilah bukti bahawa sokongan terhadap kita semakin lemah,”ujarnya, lapor Sinar Harian

Katanya lagi, Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diwujudkan bagi merungkai permasalahan yang berlaku.

Shafie berkata, kemelut politik dan ekonomi yang terjadi kebelakangan ini dikhuatiri boleh merencatkan masa depan mereka yang akan menerajui negara suatu hari nanti.

“Melihat keadaan negara pada hari ini membimbangkan saya. Kita jauh melencong daripada landasan asal dan ia akan membawa pengaruh pada masa akan datang. Saya khuatir masalah ini akan berlarutan sehingga ke zaman anak cucu kita.

“Jika ditanya kepada masyarakat pada hari ini apa kita mahu perjuangkan, tentunya pembangunan dan kestabilan negara yang utuh untuk kita berikan kepada generasi akan datang.

“Tetapi pada hari ini, saya risau masalah dihadapi ini tidak mampu kita tangani dan terbawa ke generasi akan datang,”katanya, lapor Sinar Harian.

Kata bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu lagi, hutang negara yang mencecah RM630 bilion telah memberi kesan besar terhadap rakyat.

“Jumlah hutang negara begitu banyak menjadi beban kepada rakyat kerana kita menanggung semuanya melalui pembayaran cukai GST.

“Saya khuatir memikirkan perkara ini bakal menimpa anak cucu kita yang terheret sama apabila terpaksa menanggung masalah ini,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");