Panasnya Hari Ini

“Saya Tidak Ada Konspirasi”- Muhyiddin

KUALA LUMPUR:Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan dakwaan bahawa wujud pakatan atau konspirasi dalam usaha hendak menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekaligus menepis dakwaan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya hendak respon pada apa Azalina Othman… yang menuduh bahawa saya lakukan konspirasi dalam hendak menjatuhkan Perdana Menteri.

“Komen saya ialah, saya kata tidak ada konspirasi,” katanya ringkas.

Terdahulu Azalina dilaporkan berkata kenyataan mantan Timbalan Perdana Menteri itu yang mendakwa diberi taklimat oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Najib terbabit dalam skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), derma RM2.6 bilion dan SRC International membuktikan Muhyiddin mempunyai agenda untuk menafikan hak demokrasi.

Muhyiddin dalam satu sidang media khas hari ini, menjelaskan apa yang dikatakan beliau mendapat taklimat daripada Abdul Ghani adalah ketika masih Timbalan Perdana Menteri dan mempengerusikan mesyuarat mingguan.

“Seperti yang saya jelaskan, mantan Peguam Negara pada waktu itu (Abdul Ghani) memberitahu saya apa sahaja perkembangan kes termasuk siasatan ke atas kes 1MDB dan SRC International.

“Saya hendak jelaskan perhubungan saya dengan Peguam Negara waktu saya dalam kerajaan adalah biasa kerana dia hadir dalam banyak mesyuarat yang saya menjadi pengerusinya.

“Peguam Negara adalah tempat saya rujuk kalau ada berkaitan kes atau undang-undang dan akta yang saya hendak bincangkan, baik dalam Kabinet ataupun di Parlimen untuk mendapatkan pandangan beliau dari sudut undang-undang.

“Juga hal yang berkaitan dengan 1MDB, sama ada apa-apa yang kita bincangkan dalam kabinet dan sebagainya itu ikut tertib, itu betul ataupun tidak dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya lagi, perjumpaan dan memperoleh maklumat mengenai perkembangan semasa oleh pemimpin negara dengan Peguam Negara adalah perkara biasa dan sama sekali bukannya bersifat konspirasi.

Ujarnya lagi, selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu, beliau berhak untuk mengetahui perkembangan sebarang kes yang berlaku terutama yang boleh menjejaskan kerajaan.

“Walaupun perkara itu dimaklumkan kepada saya, soal kuasa mendakwa ini terletak di atas Peguam Negara, bukan pada saya. Sama ada dia nak ambil tindakan atau tidak, itu terletak pada dia. Terserah pada AG untuk membuat pendakwaan kalau mereka mahu buat dan kalau ada bukti, hendak dakwa, dakwalah. Itu prosedur,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");