Panasnya Hari Ini

Tun M Bantu Tarik Undi Melayu Kepada Pembangkang – Rafizi

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, kerjasama di antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan barisan pembangkang menerusi Deklarasi Rakyat akan memberi kelebihan kepada pihak pembangkang.

Katanya,Deklarasi Rakyat yang bertujuan untuk menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan telah menggabungkan seteru politik tanah air akan memberi kelebihan kepada pembangkang kerana Tun Mahathir boleh ‘membuka mata’ golongan atas pagar daripada pengundi Melayu.

“Deklarasi itu adalah sesuatu yang kita katakan sejak bertahun-tahun, ia merupakan skrip kita, beliau membaca skrip kita, jadi kita berpeluang menembusi dua hingga lima peratus pengundi Melayu atas pagar,”katanya, lapor The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam satu forum bertajuk ‘Pembangkang + Pasukan Mahathir – Berbaloikah Untuk Rakyat’, malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan golongan atas pagar sebagai pengundi sedang membesar di dalam persekitaran ‘pro-establishment’ atau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai isu-isu semasa.

Jelasnya, kesudian bekas Presiden UMNO itu untuk bekerjasama dengan pembangkang akan berjaya menarik pengundi atas pagar dan pengundi UMNO untuk mengundi pembangkang.

Rafizi turut berkata, dengan dua hingga lima peratus tambahan undi Melayu boleh menambah sekitar 20 hingga 25 kerusi Parlimen.

Jelasnya lagi, pengundi bukan Melayu akan mengkaji semula sokongan mereka kepada parti pembangkang selepas beberapa penggal jika tiada sebarang perubahan.

“Sokongan penuh daripada pengundi bukan Melayu tidak kekal selama-lamanya, sebab itu kita perlu memberi tumpuan kepada dua hingga lima peratus undi Melayu,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");