Isu Panas

Usah terburu-buru buat persepsi

KUALA TERENGGANU – Masyarakat Islam tidak seharusnya terburu-buru mewujudkan persepsi serong terhadap Palestin yang menggunakan produk Israel, dengan mempersoalkan tindakan sebahagian rakyat negara ini yang memboikot barangan Israel.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Pas Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihak terlibat perlu memahami sudut geografi di negara tersebut yang terkepung dan sukar untuk mendapat bekalan makanan dan keperluan dari negara lain.

Menurutnya, negara Islam yang berjiran dengan Palestin seperti Mesir juga telah menutup pintu sempadan untuk keluar masuk ke negara tersebut sehingga menyebabkan Palestin sukar mendapat bekalan selain daripada Israel.

“Kita perlu faham sempadan Gaza adalah Laut Mediterranean, Mesir dan Israel. Ketika Mesir di bawah bekas presidennya, Muhammad Morsi, sempadan negara itu telah dibuka tetapi kembali ditutup rapat selepas Abdul Fattah Al-Sisi menjadi presiden.

“Kalau Palestin tidak dapat mengambil bekalan daripada Mesir, hendak ambil di mana lagi? Palestin terdesak dan tiada sumber lain. Mereka boleh bernafas sekejap di bawah Morsi tetapi selepas itu kembali terkepung. Lagipun Gaza bukan berhubung terus dengan Tebing Barat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas segelintir pihak mempersoalkan sikap orang Islam di negara ini yang mengambil tindakan boikot terhadap barangan Israel sebagai menyokong Palestin sedangkan Palestin sendiri menggunakan produk Israel.

Sementara itu, Azman berkata, masyarakat Islam khususnya di negara ini disifatkan tidak tegas dengan pendirian memboikot produk-produk Israel apabila menggunakannya semula selepas konflik di Palestin kembali sejuk.

Azman berkata, keadaan ini menunjukkan tindakan boikot barangan Israel pada musim perang yang lalu adalah berdasarkan semangat dan bukannya membantu saudara sendiri yang sama akidah.

Beliau menegaskan, orang Islam tidak seharusnya membiarkan Palestin bersendirian dalam permasalahan tersebut apatah lagi negara Arab sendiri lebih bersikap melihat daripada membantu.

“Tanggungjawab moralnya, memang tidak sepatutnya kita beri sokongan kepada produk dan syarikat yang ada hubung kait dengan Israel. Israel adalah negara kecil yang bilangan rakyatnya tidak sampai 10 juta orang. Sebagai negara pengeluar, amat menyedihkan apabila negara-negara Arab dan Islam yang memberi banyak dokongan kepada Israel

“Dan menyedihkan apabila dari segi pasaran, Jordan banyak menggunakan produk-produk Israel sedangkan 50 peratus rakyat Jordan adalah orang Palestin termasuk Permaisuri Rania. Tetapi Jordan ada hubungan diplomatik dengan Israel dan Syarikat Royal Jordanian mempunyai penerbangan terus dari Amman ke Tel Aviv.

“Maknanya kalau orang Palestin yang mahu boikot, itu hak mereka untuk boikot kerana mengambil kira apa yang telah berlaku kepada mereka tetapi dunia Islam seharusnya bersama-sama dengan Palestin,” katanya.

Beliau berkata, kekuatan Israel adalah dari segi ekonomi dan aspek itu sepatutnya diberi perhatian oleh umat Islam sambil memberitahu musuh Israel bukan terbatas kepada rakyat Palestin tetapi umat Islam di serata dunia.

Dalam laporan Sinar Harian melalui agensi berita antarabangsa pada Jumaat lepas, Palestin memutuskan untuk menyekat produk yang dihasilkan oleh lima syarikat Israel daripada memasuki Tebing Barat selepas Tel Aviv melakukan tindakan sama ke atas barangan dari wilayah itu.

Sumber kerajaan itu memaklumkan ia adalah tindak balas terhadap Israel selepas kemasukan produk dari lima syarikat Palestin disekat di Baitulmaqdis.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");