Jenayah

Warga Pakistan Guna Pasport Palsu Ditahan Di KLIA2

PETALING JAYA: Dalam fikirannya, dirinya mungkin ‘terlepas’ daripada dikesan oleh pegawai Imigresen di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menyamar sebagai warga Sepanyol, tetapi kamera pengecaman wajah yang baharu berjaya mengesan muslihat itu serta-merta.

Ini kerana, bukan wajahnya yang tertera pada skrin komputer pegawai imigresen, sebaliknya adalah gambar seorang wanita Sepanyol berusia 38 tahun.

Susulan pengesanan itu, pegawai imigresen telah menahan lelaki terbabit, warga Pakistan berusia 28 tahun yang tiba dari Lahore menggunakan penerbangan syarikat penerbangan tambang murah, pagi Jumaat lepas.

Kes ini adalah kejayaan pertama yang direkodkan di bawah sistem pembaca dokumen dan pengecaman wajah (facial recognition and advance document reader) yang dihubungkan dengan pangkalan data Jabatan Imigresen.

Pengarah Imigresen KLIA Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata pasport asal lelaki Pakistan itu telah ditemui bersama barang-barangnya.

“Lelaki itu ditahan pada pagi Jumaat selepas tiba di KLIA2 dari Lahore, Pakistan. Butiran pasport asal adalah seorang wanita. Kita turut menemui pasport asal milik warga Pakistan berkenaan.

“Kes ini dikesan menerusi sistem pengecaman wajah di KLIA2. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah warga Pakistan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 12a Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport individu lain,” kata Mohd Zulfikar kepada mStar Online.

Katanya, kamera khas ini merupakan ciri keselamatan tambahan bagi pemeriksaan setiap kemasukan warga asing ke negara ini yang dihubungkan dengan pangkalan data dan sistem biometrik sedia ada.

“Ia berfungsi untuk pemadanan wajah dan data pada dokumen perjalanan mereka. Ketepatan pemadanan ini boleh mencapai sehingga 80 peratus,” katanya sambil menambah semakan kedua boleh dilakukan untuk pengesahan lanjut.

Mohd Zulfikar berkata sistem pengimbasan imej akan membantu lebih baik mengenal pasti orang yang disyaki melancong dengan pasport palsu.

Mengikut rekod, sebanyak 130 kes pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan di KLIA dan KLIA2 dari Januari 2015 sehingga Februari 2016. Daripada jumlah itu, 109 adalah lelaki dan 21 wanita.

Mohd Zulfikar berkata, berdasarkan statistik itu, Bangladesh merupakan warganegara yang paling banyak dikesan melakukan pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan.

Menurut Mohd Zulfikar, semua kaunter imigresen di KLIA2 telah dipasang dengan kamera berkenaan pada bulan lalu, dan ia kini dipasang secara berperingkat di KLIA yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.

Tambahnya, KLIA dan KLIA2 menjadi projek perintis (pilot project) bagi ciri keselamatan tambahan ini sebelum ia diperluaskan ke lima lapangan terbang antarabangsa lain di Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Pulau Pinang dan Subang.

Terdapat 112 kaunter imigresen di KLIA manakala 70 kaunter imigresen di KLIA2.

Difahamkan, kos bagi mewujudkan keseluruhan sistem berjumlah kira-kira RM7 juta.

Pada peringkat awal, ciri tambahan keselamatan ini berfungsi untuk membantu mengesan sebarang pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan.

Difahamkan, selain pangkatan data Jabatan Imigresen, sistem ini akan diperluaskan dengan pangkalan data pihak berkuasa lain termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) pada masa akan datang.

Mohd Zulfikar berkata, kepakaran pemeriksaan dokumen pegawai-pegawai imigresen juga sentiasa dipertingkatkan melalui latihan bersama antara negara-negara luar seperti Australia dan United Kingdom (UK).

“Selain itu, perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasa dalam dan luar negara sentiasa dilakukan bagi membanteras anasir luar dan dalam negara seperti penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");