PELUMBA Givi Honda Yuzy Racing, Md Zaqhwan Zaidi memulakan saingan pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petroinas musim 2016 cemerlang apabila mencatat masa terpantas sesi ujian masa Kategori CP130 di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, semalam.
Zaqhwan mencatat masa terpantas 48.979s mengatasi pelumba muda yang baru beralih ke kelas CP130, Kasma Daniel Kasmayudin yang mencatatkan masa terbaik 49.059s .
Pelumba Petronas Yamaha Maju Motor itu bagaimanapun terlebih dahulu mencipta kejutan pada sesi latihan pertama di sebelah pagi apabila mencatat masa terpantas 49.505s.
Bagi Zaqhwan, dia gembira kerana kembali ke prestasi terbaik sebagaimana ketika bergelar juara keseluruhan pada musim 2014.
“Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana tidak berhenti melakukan persiapan sebaik musim lepas tamat.
“Kerja keras semua bantu saya kembali ke prestasi terbaik minggu ini,” katanya.-sinar harian