Berita Hari Ini

Abu Zahar berjaya tingkat martabat Dewan Negara

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang telah berjaya mempertingkatkan martabat Dewan Negara sebagai cabang legislatif yang berwibawa sepanjang dua penggal perkhidmatan beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Abu Zahar yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara hari ini telah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi sehingga dihormati dan disegani semua pihak.

“Selaku menteri mengenai hal-ehwal Parlimen, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan beliau yang cemerlang dalam mengendalikan Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azalina juga yakin Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu dapat menggalas dan mampu menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjamin kelangsungan peranan penting Dewan Negara dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Abu Zahar, 72, bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) pada 26 April 2010 dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-16 menggantikan Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010.

Abu Zahar memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai timbalan penguasa polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.

Beliau aktif dalam politik Kuala Pilah sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno dan Ketua Bahagian Umno sebelum bertanding menjadi Adun Pilah dan merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah selama sepenggal pada 1995-1999. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");