Membawang Hari Ini

Ada pihak ingat saya muflis – Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Ahmad Idham mengakui terdapat segelintir pihak yang menganggap dirinya sedang mengalami zaman kejatuhan selepas syarikat produksi miliknya, Excellent Pictures Sdn Bhd tidak lagi aktif sejak dua tahun lalu.

Ahmad Idham atau nama lengkapnya, Ahmad Idham bin Ahmad Nadzri, 45, berkata, andaian itu menggelikan hatinya dan menganggap pihak yang berpandangan sedemikian barangkali kurang senang dengan kehadirannya dalam industri perfileman tempatan.

“Mereka menganggap saya tidak lagi aktif dalam industri seni, malah ada yang menyangka saya sudah muflis dan tidak lagi memandu kereta mewah.

“Ada juga pihak yang mengatakan saya kini berada pada zaman kejatuhan. Saya tidak tahu mengapa mereka berfikiran begitu, namun bagi saya, perkara ini melucukan,” katanya kepada BH Online.

Idham berkata, dirinya sedang memberi fokus kepada penubuhan akademi filem miliknya iaitu Ahmad Idham Film Academy (AIFA) di Nusajaya, Johor.

Selain itu, Idham turut menguruskan syarikat penerbitan iaitu AIFA Motion Pictures. Kata pengarah Jangan Pandang Belakang Congkak itu, beliau juga enggan terlalu mendedahkan diri kepada publisiti seperti sebelum ini kerana menyifatkan ada pihak yang mungkin tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya.

“Sebelum ini, banyak pihak mengaibkan saya dan cukuplah apa yang berlaku. Saya memilih untuk bekerja secara ‘diam-diam berisi’.

“Saya berpendapat, lebih banyak kita berkongsi kerja yang di buat kepada umum, semakin ramai yang akan cuba menjatuhkan. Lebih baik saya bekerja dalam diam tanpa sebarang publisiti. Itu saja cara yang paling terbaik,” katanya.

Sementara itu, Idham menerusi AIFA Motion Pictures akan menerbitkan filem Mat Motor Otai dan sebuah lagi penerbitan yang masih belum diberi judul membabitkan kerjasama dengan produksi di Johor.

“Penubuhan AIFA dan AIFA Motion Pictures bertujuan untuk mengasah bakat pelajar dalam tenaga teknikal produksi. Menerusi latihan yang diberikan, ia memudahkan pelajar menjalani kerja praktikal. Alhamdulillah, selepas tamat pengajian, kebanyakan mereka mendapat tempat di syarikat penerbitan lain.

“Mereka menjadi pilihan syarikat luar AIFA menerapkan pendidikan secara praktikal,” katanya.

Selain itu, Idham turut mempunyai sekolah khas yang menyediakan sistem pendidikan dan terapi bertaraf antarabangsa untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Eden Firdaus Special Need Centre di Encorp Strand Mall, Kota Damansara.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/142080

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");