Berita Hari Ini

Adenan Juarai Isu Tanah Adat, Bukan Pembangkang – Najib

LAWAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) negeri pimpinan Tan Sri Adenan Satem sebenarnya menjuarai isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak dan bukannya pembangkang.

Beliau berkata ketua menteri Sarawak itu mengambil tindakan konkrit untuk menyelesaikan isu tersebut demi faedah rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerajaan pusat telah meluluskan RM100 juta untuk program pengukuran perimeter NCR di Sarawak bagi memberi surat hak milik kekal kepada rakyat negeri ini.

“Kononnya dia (calon PKR bagi Ba’Kelalan Baru Bian) menjuarai NCR, juara Tanah Adat, tetapi yang menjuarai Tanah Adat sebenarnya ialah BN pimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana tanah NCR sudahpun beribu-ribu hektar disukat.”

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk Lawas di Padang Awam Lawas, di sini Jumaat.

Hadir sama, calon BN di DUN Ba’Kelalan, Willie Liau.
Selain BN memperjuangkan NCR, ia juga menyediakan kemudahan jalan raya yang lebih baik kepada penduduk termasuk di Ba’Kelalan, kata Najib.

Justeru, perdana menetri meminta rakyat di kawasan itu menyokong dan memberikan kerusi berkenaan kepada BN demi masa depan yang lebih baik penduduk Ba’Kelalan di bawah BN.

Mengenai Lawas pula, Najib berkata Lawas akan berubah dengan ketara dan pesat apabila projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak LPBS) bernilai RM16 bilion siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun kerana lebih banyak orang luar akan datang termasuk dari negara Brunei Darussalam.

Katanya lebuh raya tanpa tol berkenaan akan menghubungkan Lawas dengan Sabah melalui Sipitang, Beaufort hingga ke Tawau.

Menurut Najib, lapangan terbang baharu untuk Lawas juga akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi menghargai sokongan padu penduduk Lawas kepada BN.

“Kita jaga Sarawak kerana Sabah dan Sarawak amat penting bagi kita. Sangat penting kerana konsep 1Malaysia menjadi realiti. Saya melihat Sabah dan Sarawak ini contoh konsep terbaik 1Malaysia,” katanya.

Najib juga menegaskan bahawa kebebasan beragama di negara ini akan terus dijamin dan semua kaum dan agama akan diberi layanan adil dan saksama oleh kerajaan.

Selesai majlis berkenaan, Najib bersama pemimpin-pemimpin BN yang beragama Islam serta hampir 2,000 masyarakat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Makmur di sini.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");