Perak Hari Ini

APMM Berjaya Tahan 44 PATI

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan seramai 44 orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam satu operasi khas yang dilaksanakan, semalam.

Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, dalam Operasi khas Satria Utara (OKSU) tersebut, pihaknya telah menahan sebuah bot kira-kira jam 11.30 pagi.

Jelasnya, maklumat awal yang diterima bot tersebut sedang cuba menyusup keluar dari negara ini melalui perairan negeri Perak, lebih kurang 35 batu nautika Tenggara Pulau Jarak.

Zulinda berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 39 orang lelaki dan lima wanita yang berusia dalam lingkungan 14 hingga 58 tahun.

“Semasa kita sedang melakukan rondaan, Kapal Maritim (KM) Marlin telah mengesan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan dan bergerak laju menuju sempadan Indonesia.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan rapi di bot tersebut, pihak Maritim berjaya menemui 44 orang PATI,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tegasnya, hasil siasatan lanjut mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan cuba keluar dari negara ini melalui jalan yang tidak sah.

Katanya, kesemua PATI berkenaan yang bekerja di beberapa negeri seperti Kelantan, Perak, Selangor dan Perlis telah membayar sebanyak RM500 hingga RM800 kepada agen untuk pulang ke negara asal mereka.

“Mereka telah dibawa oleh agen dari negeri berkenaan menggunakan pengangkutan darat dan di bawa ke Hutan Melintang sebelum dibawa keluar secara haram menggunakan bot yang telah disediakan.

“Semua PATI itu dipercayai terpaksa mengharungi lumpur selama satu jam sebelum sampai ke bot yang telah menunggu mereka kira-kira satu kilometer dari persisiran pantai sekitar jam 2 hingga 3 pagi,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, ia merupakan kali pertama pihak Maritim menahan PATI yang di bawa keluar secara haram menggunakan bot ‘barter trade’.

“Kita sedang menyiasat kemungkinan berlakunya modus operandi baru membawa PATI menggunakan bot ‘barter trade’ kerana kebiasaannya ia hanya digunakan untuk mengangkut barangan,” katanya lagi.

Menurutnya, semua warga asing tersebut ditahan dan dibawa ke Pejabat Maritim Daerah Maritim 3 Lumut, manakala bot pula ditunda ke Pusat Tahanan Vessel Kampung Baru, Sitiawan.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 26 Akta AntiPemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 5(2) dan 6(1) Akta Imigresen kerana gagal menunjukkan dokumen yang sah dan cuba keluar negara melalui jalan tidak sah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");