Perak Hari Ini

Bekalan Air Di Perak Masih Mencukupi

IPOH: Exco kerajaan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin hari ini menegaskan bahawa tidak timbul isu bekalan air di Perak akan ada catuan berikutan fenomena El Nino yang melanda negara ini.

Jelasnya, walaupun fenomena El Nino melanda negara ini sejak penghujung tahun 2015 sehingga hari ini, bekalan air di negeri ini masih lagi terkawal dan dibekalkan seperti kebiasaan.

“Saya ingin memaklumkan keperluan air di Perak, kita memerlukan hampir 865 juta liter sehari.

“Ini melibatkan penggunaan sebanyak 612 juta liter untuk kegunaan domestik, manakala dalam industri dan perdagangan , negeri memerlukan sebanyak 263 juta liter sehari.

“Untuk makluman sumber air Lembaga Air Perak (LAP) ini selain daripada kolam tadahan air Bukit Merah, LAP turut mempunyai dua empangan iaitu Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta dan Empangan Air Kuning, Taiping,”katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Ujarnya, Empangan Sultan Perak boleh bertahan selama 74 hari walaupun tidak menerima hujan manakala Empangan Air Kuning boleh bertahan sehingga 51 hari dalam cuaca kemarau dan tidak menerima hujan yang berterusan.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Taiping Headworks mengalami pengurangan pengeluaran air sebanyak 43 peratus.

“Walaupun menghadapai masalah kekurangan air, LRA Taiping Headworks ini mendapat sumber air daripada LRA Gunung Semanggol yang kita ambil bekalan airnya dari kolam tadahan air Bukit Merah.

“Pada tahun 2014, catuan air dilaksanakan disebabkan penyambungan paip air belum siap, tetapi projek tersebut telah siap tahun lalu bagi menampung kekurangan yang dihadapi oleh LRA Taiping Headworks,”ujarnya.

Jelasnya, penurunan pengeluaran air oleh LRA Taiping Headworks kini dapat ditampung oleh LRA Gunung Semanggol sebanyak 17 juta liter dan Loji Air Terjun yang meningkatkan pengeluaran sebanyak 30 juta liter sehari (normal ialah 18 juta liter sehari).

Berikutan itu, tidak timbul isu catuan air akan dilaksanakan walaupun LRA Taiping Headworks menghadapi kekurangan pengeluaran air kerana LRA itu turut ditampung oleh LRA yang berhampiran.

Dalam masa yang sama, Zainol Fadzi berkata,berkemungkinan golongan petani dan pesawah antara yang akan terkesan dengan masalah tersebut.

“Mungkin sekitar 5,000 hektar akan mendapat kelewatan bekalan air untuk ke sawah padi. Sepatutnya mereka menerima bekalan air ke sawah adalah pada 10 April, namun hasil perbincangan dengan pihak berkaitan, ianya dilanjutkan kepada 20 April.

“Berdasarkan trend yang semakin menurun, hari ini ianya kritikal di tahap tiga, kemungkinan bekalan air ke sawah padi akan ditangguh lagi kerana kita ingin memberi keutamaan kepada bekalan air harian untuk rakyat Perak,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");