Isu Panas

Calon wanita BN adalah satu pengiktirafan

KUCHING – Pemilihan lebih banyak calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) membuktikan kaum Hawa itu mendapat pengiktirafan dalam arena politik negara.

Calon BN, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peningkatkan jumlah itu telah membuka peluang kepada potensi kaum itu bersama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan parti, masyarakat dan negeri.

Calon pilihan PBB bagi kerusi Samariang itu berkata kaum wanita perlu diberi lebih banyak peluang dan ruang dalam parti politik bagi mengembangkan potensi mereka sebagai pemimpin.

Golongan wanita dalam parti politik memainkan peranan besar dan selalu taat kepada kepimpinan parti, katanya, yang juga anggota Majlis Tertinggi PBB, kepada pemberita di sini hari ini.

Pada PRN-11 pada 7 Mei ini menyaksikan sejumlah 22 calon wanita daripada 204 calon lelaki bertanding berbanding 16 calon wanita pada pilihan raya negeri pada 2011.

Mengenai pertandingan tiga penjuru bagi kerusi kawasan itu, Sharifah Hasidah berkata soal gender bukan satu halangan untuk sekali lagi mempertahankan kerusi BN itu.

Beliau akan dicabar oleh seorang lagi calon wanita, Nani Sahari daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan wakil Pas, Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi.

“Saya anggap tidak ada cabaran…sebab saya sentiasa turun padang dan memberi khidmat kepada masyarakat. Pesaing saya sama ada lelaki atau wanita…itu perkara kedua.

“Malah saya bersyukur kerana ada juga wanita daripada parti lain turut mendapat peluang menjadi calon,” katanya.

Pada pilihan raya lepas 2011, Sharifah Hasidah mengekalkan kerusi itu buat penggal kedua dengan majoriti 5,431 undi, mengalahkan calon PKR, Zulrusdi Mohamad Hol dalam pertandingan satu lawan satu.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");