Jenayah

Cemas serangan awal pagi

Kota Kinabalu: Tindakan pantas seorang ahli perniagaan memadamkan api selepas tiga kenderaan miliknya terbakar akibat dibaling tujuh molotov koktel oleh sekumpulan individu tidak dikenali di ruang parkir banglo di Jalan Mergastua, Likas, di sini, menyelamatkan nyawa tujuh ahli keluarganya yang tidur dalam kejadian awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Chai, 40-an, turut cedera melecur di bahagian tapak kaki kanan ketika cuba memadamkan api manakala ketiga-tiga kenderaannya iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan dua kenderaan pacuan empat roda Toyota FJ Cruiser dan Toyota Prado TX masing-masing rosak di bahagian belakang.

Dua lagi kenderaan miliknya yang diletakkan berhampiran tidak mengalami kerosakan dan hasil pemeriksaan mendapati tujuh molotov koktel dipercayai dibaling empat lelaki menaiki kereta Perodua Myvi berwarna putih dan lima daripadanya meletup.

Selain itu, turut ditemui besi pembuka tayar berbentuk L dan satu sarung tangan kain di hadapan rumah mangsa berkenaan.

Menurut Chai, ketika kejadian, dia tidur di tingkat atas bersama isteri dan tujuh ahli keluarganya yang lain, namun terjaga selepas terdengar bunyi penggera rumah disusuli beberapa letupan.

“Sebaik terjaga, saya keluar dan terkejut mendapati kenderaan di ruang parkir terbakar di bahagian belakang.

“Tanpa berlengah saya masuk ke dalam rumah lalu mengambil alat pemadam api dan segera memadamkan api berkenaan daripada merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, sebaik api berjaya dipadamkan dia mendapati terdapat serpihan kaca bertaburan dan dua botol kaca ditemui di bahagian belakang MPV Toyota Vellfire.

“Dua botol di dalam MPV Toyota Vellfire dan FJ Cruiser itu tidak meletup dan berikutan kejadian itu, saya terus membuat laporan polis.

“Tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M Chandra ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, siasatan masih dijalankan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dari semua sudut, namun tidak menolak motif kejadian disebabkan dendam berkaitan perniagaan.

“Usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api,” katanya.

Difahamkan, dua minggu lalu sebuah lori di pejabat mangsa di Menggatal turut dikhianati dengan api.

Sepasukan anggota polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");