Panasnya Hari Ini

Ceramah Dr Zakir Naik: Pihak Yang Bantah Dijemput Hadir

KUALA LUMPUR: Pihak penganjur program Dr Zakir Naik di Malaysia menjemput semua pihak yang membantah ceramah pendakwah antarabangsa itu untuk hadir ke program berkenaan.

Penganjur, Abu Shariz Sarajun Hoda berkata, pihaknya juga menyatakan kesanggupan untuk menyediakan tempat bagi semua pihak yang membantah tersebut termasuklah menaja tempat tinggal dan tiket penerbangan.

Jelasnya, pihak tersebut perlu datang sendiri ke program berkenaan untuk menilai sendiri ceramah yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik.

“Kita menjemput pihak yang membantah Dr Zakir untuk hadir dan mendengar sendiri ceramahnya. HINDRAF, Hindu Sangam, MIC dan lain-lain dijemput. Kita sanggup sediakan tempat walaupun tempat ceramah itu mungkin penuh.

“Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy pun kita jemput untuk hadir dan dengar ceramah Dr Zakir. Kita boleh taja tiket penerbangan beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini, lapor Free Malaysia Today.

Sebelum itu, beliau telah mengadakan mesyuarat bersama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengenai kehadiran Dr Zakir Naik ke Malaysia.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung program tersebut.

Katanya, penganjur bersetuju untuk menukar tajuk ceramah yang akan disampaikan dan program Dr Zakir di Malaysia diteruskan seperti yang dirancang.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan majlis ceramah Dr Zakir di Melaka pada 17 April ini dibatalkan selepas polis menerima aduan daripada pelbagai pihak.

Namun, arahan pembatalan majlis berkenaan telah ditarik semula selepas perbincangan antara Ahmad Zahid dengan penganjur, yang mana penganjur bersetuju untuk menukar tajuk ceramah.

Ceramah yang bertajuk ‘Persamaan Antara Hinduisme dan Islam’ telah ditukar kepada ‘Hak Wanita Dalam Islam’ untuk program yang akan diadakan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ahad ini.

Gambar:- Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");