Panasnya Hari Ini

Ceramah Dr Zakir Naik: Tajuk ‘Hak Wanita Dalam Islam’ Dipilih

KUALA LUMPUR: ‘Hak Wanita Dalam Islam’ telah dipilih menjadi tajuk bagi ceramah Dr Zakir Naik yang bakal disampaikan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ahad ini.

Memetik laporan BH Online, Pengarah Program Jelajah Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dan mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini.

Jelasnya, kerajaan membenarkan forum berkenaan diteruskan namun tajuk syarahan tersebut perlu ditukar dengan tajuk baharu yang lebih sesuai.

“Selepas berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan mengambil kira sensitiviti orang ramai, kita membuat keputusan untuk mengubah tajuk yang lebih sesuai daripada tajuk asal ‘Persamaan Antara Hinduisme dan Islam’,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Shahidan berkata, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan menjemput Dr Zakir Naik untuk mengadakan ceramah di negeri itu.

Tambahnya, Raja Perlis telah memaklumkan kepada beliau untuk benarkan kedatangan Dr Zakir Naik malah baginda turut mengalu-alukan program syarahan diadakan di sana.

“Dr Zakir bawa mesej yang baik, ..tidak baik sentuh beliau dengan perkara tidak baik. Tidak ada masalah untuk datang ke negara ini beri ceramah mengenai Islam. Semua pihak tak perlu gundah gulana atau bercakap tidak sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa ceramah perdana oleh Dr Zakir di UTeM boleh diteruskan dengan syarat syarahan yang bertajuk ‘Persamaan Antara Hinduisme dan Islam’ perlu ditukar kepada tajuk lain yang lebih sesuai.

Forum Dr Zakir Naik dijadual diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini dengan tajuk ‘Is The Quran God’s Word?’.

Manakala syarahan bertajuk ‘Hak Wanita Dalam Islam’ pula akan disampaikan di UTeM pada keesokannya.

Gambar: sumber google

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");