TIDAK dinafikan pencapaian jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang meraih gelaran ke-11 Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia dua minggu lalu perkara yang melegakan peminat badminton tempatan.
Kebangkitan yang dipamerkan beliau di halaman sendiri amat luar biasa selepas dikejutkan dengan kekalahan awal pada Seluruh England dan Terbuka India bulan lalu.
Dalam perlawanan itu, Chong Wei tidak memberi ‘muka’ kepada Chen Long apabila menang mudah 21-13, 21-8 dalam masa 42 minit.
Tidak hairanlah, kejayaan itu masih diperkatakan sehingga kini malah ada yang kembali menaruh kepercayaan bahawa kudrat kuda tua itu mampu untuk memenuhi impian meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2016, selepas dua kali gagal dimiliki pada 2008 dan 2012.
Bagaimanapun harus diingat, gelaran juara dalam mana-mana kejohanan bukan pengukur kepada kemampuan Chong Wei kerana setiap kejohanan adalah berbeza.
Kita juga harus sedar, cabaran temasya di Rio de Janeiro, Brazil nanti cukup hebat dan kita tidak mampu untuk meramal sama ada pemain berusia 33 tahun itu akan berada di prestasi yang sama ataupun tidak.
Lagipun, dengan persaingan yang dijangka semakin mencabar, bukan hanya Chen Long atau Lin Dan akan menjadi ancaman kepada Chong Wei sebaliknya pemain lain turut berpeluang berbuat demikian.
Antara pemain yang dijangka memberi saingan dalam perebutan meraih emas Olimpik ialah Jan O Jorgensen (Denmark), Son Wan Ho (Korea Selatan), dan lain-lain lagi.
Oleh itu, dalam erti kata mudah, Chong Wei tidak boleh dibuai mimpi dengan kejuaraan itu sebaliknya fokus kepada persiapan penting dalam tempoh empat bulan ini bagi memastikan prestasinya berada di tahap terbaik.
Jangan nanti, hero menang sekarang, tapi tunduk di Olimpik.
Tugas makin berat
Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan berharap Chong Wei dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam latihan berbaki beberapa bulan lagi sebelum Sukan Olimpik bermula.
“Kita akan berusaha dalam tempoh empat bulan ini untuk fokus menjalani latihan. Dia ada keluarga, kawan, masalah begitu tetap akan ada.
“Tetapi paling penting saat ini adalah Olimpik, apa yang perlu diketepikan harus diketepikan,” katanya yang mengakui lebih tertekan berbanding Chong Wei.
Hendrawan mengakui tugasnya lebih berat lagi kerana dia adalah orang penting dalam menentukan kejayaan Chong Wei, lebih-lebih lagi untuk membantu bekas pemain nombor satu dunia itu meraih pingat emas yang dinantikan.
“Ini bukan satu tugas yang mudah buat saya. Rakyat Malaysia masih mengharapkan Chong Wei seperti dulu tetapi semua perlu tahu, keadaan Chong Wei sudah berbeza.
“Tapi kita akan cuba buat yang terbaik,” katanya.-sinar harian