JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kekal positif mengenai peluang untuk memburu gelaran ke-11 Terbuka Malaysia yang bermula hari ini biarpun dihantui dengan prestasi tidak menentu ketika ini.
Chong Wei percaya, dua kekalahan berturut-turut di pusingan awal – Seluruh England dan Terbuka India tidak akan menjejaskan semangatnya untuk merampas kembali gelaran itu.
Tahun lalu dia tidak dapat beraksi di Terbuka Malaysia kerana menjalani penggantungan susulan kes doping.
“Apa juga situasi sekalipun, saya perlu kuatkan diri saya, baik dari aspek mental mahupun fizikal untuk menghadapi segala cabaran.
“Memang saya tidak berada di tahap prestasi terbaik, tapi saya telah melakukan persiapan untuk kejohanan ini.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk memenangi gelaran ke-11 Terbuka Malaysia tahun ini,” katanya.
Chong Wei sebelum ini tewas di pusingan awal di Seluruh England kepada pemain India, B Sai Praneeth dan tunduk kepada Wei Nan dari Hong Kong, Khamis lalu di Terbuka India.
Berdasarkan undian, Chong Wei sekali lagi akan bertemu Wei Nan pada pusingan pertama esok.
Mengulas lanjut, pemain berusia 34 tahun itu berkata, dia akan cuba melakukan yang terbaik pada masa sama mengelak melakukan kesilapan mudah.
“Di India perlawanan memang sengit dengan Wei Nan. Dia tampil dengan corak permainan menyerang, namun kali ini saya akan lakukan yang terbaik apa lagi beraksi di laman sendiri,” katanya,
Untuk rekod, Chong Wei telah 10 kali menjuarai Terbuka Malaysia dan kali terakhir pada 2014.-sinar harian