Perak Hari Ini

Contohi Semangat Berpasukan Seperti Dalam Filem ‘Ola Bola’ – Sultan Nazrin

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini memuji filem pecah panggung negara, Ola Bola yang menekankan mengenai semangat pengorbanan, semangat berpasukan, semangat setia kawan dan semangat kenegaraan yang tinggi berjaya disemai melalui sukan.

Titah baginda, sukan berupaya menyemaikan budaya hidup sihat, semangat persaingan, semangat mahu mencipta kejayaan lebih tinggi, semangat tidak riak di kalangan yang menang dan semangat tidak kecewa di kalangan yang tewas.

“Sukan adalah platform yang berupaya memupuk semangat persefahaman, semangat berpasukan dan semangat bekerjasama.

“Oleh itu, badan-badan sukan, diberikan pelbagai bantuan dan kemudahan, dan penganjuran acara-acara sukan senantiasa diberikan dorongan dan sokongan,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Terdahulu, filem terbitan Astro Shaw yang diarahkan oleh Chiu Keng Guan itu berjaya mengutip RM12 juta dalam 18 hari tayangan walaupun tidak dibarisi pelakon terkenal tanah air.

Filem tersebut mengisahkan kegemilangan pasukan bola sepak negara yang layak ke Sukan Olimpik di Moscow pada tahun 1980.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut bertitah, kerajaan Perak turut menyediakan beberapa jenis bantuan kepada pelajar-pelajar yang berhasrat dan layak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“Pada tahun 2015, 14,000 orang pelajar telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM11.6 juta. Kerajaan Beta turut menawarkan pinjaman pendidikan pengajian ke institusi pengajian tinggi di mana 500 orang pelajar telah diluluskan pinjaman pendidikan melibatkan RM7 juta dalam tahun 2015.

“Yayasan Perak telah menambah baik, proses permohonan Dermasiswa Pendidikan dengan memperkenalkan kaedah permohonan secara atas talian (online). Kaedah tersebut telah memudahkan urusan mengemukakan permohonan.

“Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak turut menyediakan biasiswa pelajaran di bawah Asnaf Fisabilillah untuk pelajar-pelajarmengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di luar negara,”titah baginda.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");