Perak Hari Ini

Dakwaan Ketua Pembangkang Beri Kesan Kepada KUISAS

IPOH: Dakwaan tidak benar yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin (AMANAH-Changkat Jering) berkaitan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) telah memberi kesan kepada kolej berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN-Pangkor) menyatakan kekecewaannya apabila isu KUISAS terus dimainkan di Dewan Negeri.

Ujarnya, beliau tidak pasti apa masalah pihak pembangkang, khususnya Ketua Pembangkang, yang sering membangkitkan isu KUISAS.

“Beliau (Nizar) berkata bahawa beliau nak membetulkan bagi tujuan ‘check and balance’. Ada perkara-perkara yang tak perlukan ‘check and balance’ terutamanya dalam membuat kenyataan-kenyataan yang tidak berasas, tidak meneliti terlebih dahulu.

“Ini memberi impak kepada universiti itu sendiri yang menyebabkan orang takut untuk datang. Saya difahamkan untuk pengambilan ke KUISAS ini dah mula ada kesan kerana orang beranggapan bahawa kos yang begitu tinggi walhal KUISAS merupakan antara universiti yang mempunyai kos terendah sekali di Malaysia,”katanya dalam sidang media yang diadakan selepas sesi penggulungan Dewan Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, yuran pengajian yang dikenakan oleh KUISAS bagi program ijazah adalah RM23,400 manakala bagi program Diploma adalah RM14,000 sehingga tamat pengajian.

Zambry berkata, yuran RM48,000 yang didakwa adalah yuran siling program pengajian di KUISAS yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ini bermakna, KUISAS dan kerajaan negeri telah memberi subsidi kepada setiap orang pelajar sebanyak RM24,000,”kata Zambry.

Ujarnya, pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Berkali-kali saya melihat dan pantau kenyataan-kenyataan yang dibuat hanya atas nama ‘dengar-dengar’ sahaja.

“Ianya berkaitan institusi kita. Walaupun kita dah menjelaskan kepada orang ramai, tetapi mereka masih takut untuk datang ke KUISAS,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, Zambry berkata, dakwaan Mohamad Nizar bahawa KUISAS mempunyai hutang operasi sebanyak RM1 juta adalah satu kenyataan yang salah.

“Hakikatnya, KUISAS tidak mempunyai hutang operasi sebanyak RM1 juta seperti yang didakwa.

“Pengurusan KUISAS sentiasa menyahut saranan kerajaan. KUISAS kini mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM3.9 juta dan ini boleh digunakan untuk menampung kos-kos operasi mereka,”ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");