Isu Panas

Dakwaan Pencadang Calon PKR Muflis Tidak Benar – PKR

KUCHING: PKR menafikan dakwaan oleh DAP Sarawak bahawa calonnya di Batu Kitang, Voon Shiak Ni, hampir hilang kelayakan kerana pencadang beliau diisytiharkan muflis.

Pengurus kempen untuk Voon, Simon Siah Sy Jen, pada sidang akhbar, Selasa, berkata pencadang beliau, Narawi Palayan Miniandi, tidak muflis dan ini telah disahkan oleh Jabatan Insolvensi.

Katanya, pemeriksaan muflis telah dilakukan ke atas calon, pencadang dan penyokong pada malam sebelum hari penamaan calon, dengan ketiga-tiga individu disahkan bersih oleh jabatan itu.

“Proses penamaan calon secara keseluruhannya berjalan lancar dan tidak sekali pun calon, pencadang atau penyokong kita daripada parti ini di Batu Kitang disoal oleh Pegawai Pengurus pilihan raya.

“Suasana di pusat penamaan calon adalah aman dan tidak banyak berlaku drama selain daripada kelewatan yang kita tidak diberitahu sebabnya,” kata Siah.

Beliau mengkritik ketua DAP negeri Chong Chieng Jen yang membuat dakwaan palsu tanpa berunding dengan PKR terlebih dahulu, sambil menggesanya supaya memeriksa semula fakta-fakta yang diberikan beliau.

Siah berkata tuduhan Chong juga telah merosakkan reputasi Narawi, yang merupakan seorang ahli akar umbi PKR.

Narawi, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata beliau akan memikirkan tindakan undang-undang terhadap Chong.

“Oleh kerana kita memasuki hari kedua proses pilihan raya, kami berharap kami semua dapat mengamalkan politik sihat dan matang,” kata Siah.

Chong pada Isnin mendakwa bahawa pembangkang akan kehilangan kerusi Batu Kitang kepada Barisan Nasional jika DAP tidak meletakkan calon mereka di sana pada saat akhir.

Beliau mendakwa Voon hampir hilang kelayakan kerana pencadang beliau telah didapati muflis.

DAP akan berdepan dengan PKR di enam kerusi negeri, termasuk Batu Kitang, selepas gagal dalam rundingan mengenai pembahagian kerusi oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");