Panasnya Hari Ini

Debat: Rahman Dahlan terdesak – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan didakwa berada dalam keadaan terdesak untuk lari daripada cabaran debatnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Abdul Rahman sengaja mahukan tindakan saman fitnah diambil agar beliau boleh menggunakan alasan sub judice untuk mengelak daripada berdebat.

“Abdul Rahman Dahlan nampaknya begitu terdesak dan mahu lari daripada cabaran debatnya sendiri, sehingga beliau mencabar saya membuat saman fitnah terhadapnya di mahkamah.

“Rahman tahu bahawa jika saya menyamannya, beliau dengan mudah boleh menggunakan alasan sub judice untuk mengelak daripada berdebat dengan saya,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Free Malaysia Today.

Tegasnya lagi, beliau tidak akan terjebak dengan helah yang pernah digunakan sebelum ini, seperti isu wang derma RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ujarnya, skandal derma RM2.6 bilion Perdana Menteri diisytiharkan sub judice, hanya kerana semakan kehakiman yang difailkan di mahkamah oleh Majlis Peguam.

“Hasilnya, skandal derma RM2.6 bilion diisytihar sub judice oleh Speaker Parlimen dan tiada soalan boleh dibangkitkan di Parlimen.

“Jelas sekali peraturan yang sama turut terpakai dan seluruh drama serta sandiwara akan diulang tayang, di mana beliau akan mengambil nasihat supaya tidak meneruskan debat, kerana hal tersebut kini menjadi urusan mahkamah dan hanya boleh berdebat dengan saya, selepas saman fitnah itu selesai,” tambahnya.

Terdahulu, Abdul Rahman telah mencabar Guan Eng untuk memfailkan saman terhadap beliau atas dakwaan memfitnah, selepas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa beliau tidak mahu meneruskan debat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis.

Malah, Abdul Rahman turut menyatakan Guan Eng mengeluarkan kenyataan seperti individu tidak bertamadun dan gagal memperlihatkan gaya seorang ketua menteri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");