Panasnya Hari Ini

Deklarasi Rakyat : Tun M Beri Jawapan Kenapa Ingin Libatkan Istana

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Deklarasi Rakyat yang kini sedang giat disebarkan ke seluruh negara akan tetap dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.

Ujarnya, meskipun terdapat banyak pihak yang membantah tindakan beliau yang ingin membawa istana terlibat dalam misi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau mempunyai alasannya yang tersendiri.

“Suara rakyat adalah suara keramat. Kalau kita dapat tunjuk kepada Raja-raja bahawa deklarasi ini datang daripada berjuta rakyat, saya yakin Raja-raja pun gentar juga. Bukan itu sahaja, saya fikir mereka akan mendesak Najib suruh berhenti (letak jawatan).

“Mungkin jadi, mungkin tidak. Tetapi jika tidak buat apa-apa, memang tidak jadi lah. Saya yakin, jika berjuta rakyat Malaysia menandatangani deklarasi ini, Raja-raja akan ambil berat,”ujarnya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam Forum Laporan PAC 1MDB : Najib – Bersubahat atau Tidak Bersalah? di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, dalam sejarah juga telah membuktikan bahawa suara rakyat pernah mengubah keputusan yang telah diambil Raja-raja ketika sebelum merdeka.

“Ada orang datang jumpa saya dan kata ‘buat apa pun, Najib tak akan turun. Raja-raja pun tak akan peduli’.

“Saya nak cerita sedikit, ketika kita melawan dengan Malayan Union, Raja-raja sudah tandatangan untuk serah negeri mereka kepada British untuk dijadikan Malayan Union. Rakyat tak ada kuasa, tak ada Perlembagaan yang memberi apa-apa kuasa kepada rakyat.

“Oleh itu, rakyat tidak boleh buat apa mengikut undang-undang. Yang boleh dilakukan hanyalah mendesak Raja-raja supaya menolak perjanjian yang ditandatangani oleh mereka. Pada hari pertabalan ‘High Commisioner’ bagi Malayan Union, Raja-raja didesak rakyat supaya tidak hadir dalam upacara itu dan mereka tidak hadir,”ujarnya.

Berikutan itu, kata Tun Mahathir, Raja-raja akhirnya menuntut supaya dibatalkan perjanjian tersebut.

“Walapun tak ada dalam Perlembagaan, rakyat masa itu tidak ramai, tidak bijak, tetapi suara rakyat adalah suara keramat,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");