Membawang Hari Ini

Ditegur bermulut becok

Kedudukan wanita ini dalam bidang pengacaraan memang sudah menyerlah.

Dikenali dengan cara pengacaraan yang cukup bertenaga dan hidup, Maria Tunku Sabri, 40, tidak terlepas menjadi bualan ramai.

Mana tidak, bagi yang tak kenal dan kurang faham dengan rentak pengacaraannya pasti mengatakan dia bermulut becok.

Sebenarnya, kalau diikutkan dia antara pengacara yang sering tampil dalam keadaan cukup ‘natural’.

Maria berkata, dia tidak terkesan jika caranya itu dipertikaikan. Ini kerana dia sentiasa berpegang kepada prinsip iaitu menjadi diri sendiri.

“Saya memang suka bercakap dan itu memang sudah ada dalam diri saya sejak dulu.

“Pernah juga saya diminta berhenti kerana terlebih cakap, tapi itu bukan isu besar untuk saya. Kalau memang saya sudah cakap banyak sehingga menjejaskan sesuatu program, saya tidak kisah jika ditegur,” katanya.

Terlanjur menyentuh perkara itu, Maria juga menjelaskan bahawa dia langsung tiada niat untuk mendominasi perbualan apabila digandingkan dengan pengacara lain.

Apabila mengacarakan program CJ Wow Shop dan kelihatan lebih menonjol, baginya ia tidak benar sama sekali.

“Untuk berganding dengan saya, seseorang perlu faham rentak saya dan tahu di mana hendak masuk. Kadang-kadang saya memang akan leka dan tercakap banyak.

“Dalam CJ Wow Shop sendiri, saya terlalu suka dengan program itu dan teruja untuk sentiasa bercakap mengenai sesuatu produk. Itu yang sampai tak sedar ada hos lain di sebelah saya,” katanya ketawa.

Biarpun sudah cukup berpengalaman, Maria tidak pernah mengambil kesempatan meninggi diri dengan pengacara baru.

Menurutnya, lebih baik dia menurunkan ilmu kepada mereka berbanding cuba menampakkan dirinya lebih hebat.

“Seperkara dengan program CJ Wow Shop, saya berganding dengan ramai pengacara baru. Saya sendiri belum memahami rentak mereka dan sentiasa cuba mencari keserasian bersama.

“Bagaimanapun, kalau ada apa-apa yang perlu diperbetulkan terhadap mereka, saya akan berterus terang saja,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai program itu, dia tidak menafikan ia satu cabaran baru buatnya.

Pada masa sama, dia teruja kerana program itu sangat sesuai dengan jiwanya sebagai wanita berkeluarga.

“Antara sebab saya menerima tawaran ini kerana konsepnya bertujuan mendidik penonton di rumah. Bukan sekadar menjual produk semata-mata. Memang seronok apabila dapat mencuba sendiri produk yang sangat berguna seperti kelengkapan dapur bersama keluarga.

“Bagaimanapun, di situlah cabaran sebenarnya nanti. Saya perlu menghafal setiap inci maklumat mengenai produk itu lalu disalurkan dalam pengacaraan saya sehingga mampu meyakinkan penonton,” katanya.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");