Berita Hari Ini

Dr Zakir dulu budak gagap kini pendakwah terkenal

SHAH ALAM – Sebelum dikenali seluruh dunia, siapa sangka pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik seorang budak gagap yang tidak mampu menyebut namanya sendiri dengan betul.

Malah Zakir menganggap masalah gagap yang dialaminya itu di tahap yang kronik.

Namun komplikasi struktur lidah itu tidak menghalang cita-citanya untuk menjadi seperti mentornya, Ahmad Deedat.

Beliau berusaha keras mengatasi masalah pertuturannya dan memastikan hasrat untuk menjadi pendakwah tidak terkubur.

“Akhirnya janji ALLAH SWT itu benar. Kalau kita bantu agama ALLAH, pasti ALLAH akan membantu kita,” katanya ketika ditemui dalam kempen #IslamIsFirstClass TV Al-Hijrah.

Setelah memulakan usaha dakwah melalui ceramah, lama kelamaan masalah gagap yang dialaminya hilang dengan sendiri.

Menyedari pentingnya bakat serta keterampilan pendakwah diasuh pada usia kecil terutama dalam konteks pembinaan personaliti ketika menyampaikan syarahan, Zakir mengasaskan sekolah ceramah khas di Mumbai yang silibusnya diiktiraf Universiti Cambridge.

Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai pendakwah melalui kaedah ceramah yang diasaskan Ahmad Deedat.

“Di sekolah ini kami mendidik pelajar seawal usia dua tahun untuk menguasai bahasa Arab, Inggeris dan Mandarin,” katanya.

Selain penguasaan tiga bahasa utama dunia, pelajar turut diajar memahami al-Quran serta menguasai pelajaran Sains dan Matematik.

Pada usia empat tahun, para pelajar sudah didedahkan dengan ucapan awam bagi memastikan mereka menguasai kemahiran dan teknik menampilkan diri ketika berceramah.

“Kajian membuktikan, 93 peratus kejayaan dalam menyampaikan ceramah terletak pada kemahiran dan teknik. Hanya tujuh peratus terletak pada isi yang dibahaskan.

Menyedari hakikat itulah, sekolah yang diasaskannya sangat menekankan pada strategi teknik dan kemahiran.

Mengenai usaha melahirkan protege, Zakir mendedahkan mengenai 20 penceramah yang kini sedang dididik di sekolahnya.

Mereka menerima latihan antara 20 hingga 45 hari dengan kelas yang padat selama 16 jam sehari.

“Kini terdapat enam pelajar Malaysia, empat dari India serta dari Indonesia, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS),” jelasnya.

Selain sekolah debat, Zakir turut memiliki stesen televisyen Peace TV yang ada tiga saluran melalui satelit bersiaran 24 jam sehari dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan Arab.

Peace TV beroperasi di Mumbai India dan boleh diakses di Eropah, AS, Kanada, India, Pakistan dan China.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");