Berita Hari Ini

Ekonomi berdaya saing

Kuala Lumpur: “Pelabur asing membeli saham tempatan bernilai RM5.5 bilion pada suku pertama tahun ini, ” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia bukti kepada ekonomi berdaya tahan, mampan dan inklusif yang dibina kerajaan melalui pelaksanaan pelan ekonomi jangka panjang.

“Ini jelas bahawa kita mempunyai pelan ekonomi yang dilaksanakan dan ia masih dilaksanakan. Ia adalah pelan jangka panjang yang dilaksanakan untuk manfaat rakyat Malaysia bukan saja pada hari ini, tetapi esok dan pada tahun-tahun dan dekad akan datang,” katanya pada Invest Malaysia 2016, di sini, semalam.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan mengurangkan sehingga separuh kebergantungan negara kepada minyak dan gas daripada 41.3 peratus daripada jumlah perolehan pada 2009 kepada 21.5 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, langkah itu mengambil kira bahawa kerajaan akan kehilangan perolehan RM450 juta untuk setiap penurunan dolar AS bagi harga minyak.

“Fikirkan di mana kita hari ini jika kita tidak berbuat demikian. Ia satu lagi keputusan yang sukar, tetapi kita melakukannya kerana ia betul,” katanya.

Najib berkata, saiz keseluruhan pasaran modal meningkat kepada RM2.8 trilion pada tahun lalu, iaitu naik 150 peratus sejak 2009, dua setengah kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Pada tempoh sama, katanya, pasaran ekuiti berkembang sebanyak 69.6 peratus kepada RM1.7 trilion, manakala pasaran bon dan sukuk meningkat 74.4 peratus kepada RM1.1 trilion.

Beliau berkata, bahagian lain ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan yang sama dengan lebihan dagangan naik kepada RM7.5 bilion pada Februari berbanding RM5.4 bilion pada Januari, menjadikannya bulan ke-220 lebihan dagangan sejak November 1997.

“Pencapaian ini menggalakkan terutamanya dengan mengambil kira cabaran daripada harga komoditi yang rendah, mata wang yang turun naik dan kelembapan ekonomi China,” katanya.

Beliau berkata, bagi setiap satu peratus penurunan dalam ekonomi China, ekonomi Malaysia merosot sebanyak 0.4 peratus memandangkan China adalah rakan dagang terbesar negara.

Najib berkata, kerajaan menggubal dasar untuk memastikan rakyat mempunyai kemahiran yang sesuai dengan melabur dalam latihan, selain dasar untuk memastikan barang makanan, perumahan, penjagaan kesihatan dan keperluan lain boleh didapati pada harga rendah.

“Keputusannya baik, kita hampir menghapuskan kemiskinan mutlak kepada kurang daripada satu peratus. Pendapatan kumpulan isi rumah 40 peratus terendah meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus, malah lebih tinggi daripada purata negara sebanyak lapan peratus,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang gaji minimum juga mengeluarkan 2.9 juta orang serta-merta daripada kemiskinan mutlak.

Persidangan Invest Malaysia 2016 selama dua hari itu menghimpunkan lebih 2,200 pengurus dana, penggubal dasar, pemacu pasaran modal dan pemimpin untuk membincangkan mengenai peluang pelaburan yang terdapat di Malaysia. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");